England belum hilang taring, Daly janji kebangkitan di Rom

England belum hilang taring, Daly janji kebangkitan di Rom

Elliot Daly ketika bersama skuad kebangsaan England.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bek sayap berpengalaman, Elliot Daly menegaskan England belum tersasar jauh daripada rentak kemenangan mereka, selepas dua kekalahan memeritkan kepada Scotland dan Ireland yang mencalar kempen Six Nations Championship musim ini.

Menurut Daly, persepsi bahawa skuad The Red Roses sudah ‘hilang arah’ hanyalah gambaran luaran, sedangkan hakikatnya England hanya dipisahkan oleh beberapa kesilapan kecil dan kegagalan memanfaatkan peluang di depan mata.

“Di kaca TV mungkin nampak seperti kami jauh tertinggal, tetapi apabila diperhalusi, ia sekadar beberapa penalti dan kesilapan kecil yang menghukum kami,” katanya.

England kini bersiap sedia menentang Itali di Rom, Sabtu ini, dengan jurulatih Steve Borthwick melakukan rombakan besar-besaran apabila menyenaraikan sembilan muka baharu dalam kesebelasan utama.

Statistik jelas memihak England dari segi kemaraan ke kawasan 22 meter lawan sekaligus mencatatkan kedua tertinggi dalam kejohanan namun ketumpulan penyudah menjadi barah utama.

Daly menegaskan, pasukan lawan kini lebih agresif menutup ruang dengan menggerakkan barisan pertahanan lebih ke hadapan setiap kali diasak, sekali gus menyukarkan England mencari ruang untuk melakukan try.

“Kami perlu kekal tenang apabila menghampiri garisan gol. Corak serangan untuk sampai ke zon itu sudah baik, cuma mentaliti di saat akhir perlu diperkemaskan,” ujarnya.

Pengalaman Daly tidak boleh dipertikaikan apabila musim lalu menjadi pencetus kebangkitan England apabila muncul wira menjaringkan try kemenangan menentang Perancis dengan kemenangan yang memulakan rentetan 12 kemenangan berturut-turut.

“Kami tidak jauh daripada sasaran sebenar. Jika beberapa peluang itu diterjemahkan kepada mata, cerita perlawanan pasti berbeza,” tegasnya lagi.

Pertembungan menentang Itali menjadi pentas terbaik untuk England membuktikan bahawa taring mereka belum tumpul, dan kebangkitan hanya menunggu masa untuk meledak.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN