CAS kekalkan penggantungan 12 bulan terhadap 7 pemain warisan

CAS kekalkan penggantungan 12 bulan terhadap 7 pemain warisan

warisan
HUKUMAN terhadap tujuh pemain warisan dan juga FAM dikekalkan oleh CAS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, CAS dalam satu kenyataan memaklumkan penggantungan itu hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan membabitkan semua aktiviti bola sepak.

Tujuh pemain warisan terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Sementara itu, rayuan yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula ditolak, sekali gus menyaksikan denda CHF 350,000 (RM1.8 juta) kekal berkuatkuasa.

“Panel CAS memutuskan bahawa tujuh pemain tersebut dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada perlawanan rasmi sahaja, dan bukan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

“Dalam masa sama, rayuan bersepadu oleh FAM ditolak dan keputusan Persekutuan Bolasepak ntarabangsa (FIFA) untuk mengenakan denda CHF350,000 terhadap FAM kekal,” kata CAS dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan prosiding CAS pada 26 Februari lalu elah didengar oleh panel yang dianggotai oleh Lars Hilliger (Denmark) sebagai presiden panel, bersama José Luis Andrade (Portugal) dan Massimo Coccia (Itali).

Selepas meneliti bukti, panel CAS mendapati kesalahan memalsukan dokumen kelayakan terbukti dan penggantungan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah hukuman yang munasabah serta seimbang, memandangkan pemain mempunyai tanggungjawab bersama dalam kes penipuan tersebut.

“Bagaimanapun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA, panel memutuskan bahawa penggantungan itu hanya terpakai kepada perlawanan, bukan kepada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

“Ini bermakna pemain masih boleh menyertai latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.
Sehubungan itu, rayuan pemain sebahagiannya dibenarkan dan hukuman terhadap mereka dipinda.

“Larangan bermain perlawanan bermula 5 Mac 2026, dengan mengambil kira tempoh dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 yang telah dianggap sebagai sebahagian daripada tempoh hukuman,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN