Bosnia-Herzegovina ranapkan impian Wales

Bosnia-Herzegovina ranapkan impian Wales

PEMAIN Bosnia-Herzegovina meraikan kejayaan apabila berjaya menewaskan Wales dalam penentuan penalti bagi aksi kelayakan play-off Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
CARDIFF: Impian Wales untuk beraksi di pentas Piala Dunia musnah selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Bosnia dan Herzegovina dalam aksi play-off, semalam.
Skuad kendalian Craig Bellamy itu terlebih dahulu berada di hadapan hasil jaringan menarik Dan James, namun pengalaman penyerang veteran, Edin Dzeko yang kini berusia 40 tahun memastikan Bosnia kembali mengikat kedudukan 1-1 menjelang penghujung perlawanan.
Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dalam masa tambahan sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Brennan Johnson dan Neco Williams gagal menyempurnakan sepakan masing-masing sebelum pemain muda Bosnia, Kerim Alajbegovic tenang menjaringkan penalti kemenangan buat pasukannya.
Kemenangan itu menyaksikan Bosnia-Herzegovina mara ke final play-off untuk bertemu Itali yang sebelum itu menewaskan Ireland Utara 2-0.
Dzeko mengakui Itali kekal sebagai pasukan pilihan, namun percaya pasukannya mampu memberi tentangan sengit.
“Itali adalah pasukan besar dan mereka pasti tertekan kerana gagal layak ke dua edisi Piala Dunia sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Bellamy meluahkan rasa kecewa meskipun berbangga dengan usaha anak buahnya.
“Kami sepatutnya mampu mengawal permainan hingga wisel penamat. Ini satu pengajaran besar buat pasukan,” katanya.
Kegagalan tersebut menyaksikan Wales terus bergelut untuk kembali ke pentas kejohanan utama selepas persaraan legenda mereka, Gareth Bale.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua berturut-turut Wales kecundang dalam aksi play-off selepas turut tewas menerusi penalti kepada Poland dalam usaha melayakkan diri ke Euro 2024. – AFP
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN