Bersediakah Zii Jia galas misi berat Piala Thomas?

Bersediakah Zii Jia galas misi berat Piala Thomas?

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekalahan di pusingan kelayakan pada Orleans Masters, kelmarin, membangkitkan persoalan besar sama ada Lee Zii Jia benar-benar bersedia menggalas cabaran negara pada Piala Thomas di Horsens, Denmark, April ini.

Prestasi semasa bekas perseorangan lelaki No. 1 Malaysia itu amat membimbangkan, dengan dua kejohanan yang hanya bertaraf Super 300 gagal diharunginya apabila tersingkir di pusingan awal.

Minggu lalu, pada Terbuka Switzerland, Zii Jia terkandas di peringkat 32 terbaik, namun, kelmarin, anak jati Kedah itu belum sempat mara ke undian utama selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pemain muda China yang menghuni ranking No. 74 dunia, Dong Tian Yao 18-21, 14-21 dalam masa 36 minit.

Perkembangan terkini Zii Jia jelas menimbulkan persoalan, adakah dia selayaknya menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga negara dengan ranking yang semakin merudum jatuh ke tangga No. 86 dunia.

Bekas pemenang All England dan Kejohanan Asia itu kelihatannya bergelut untuk mendapatkan kembali rentak kecemerlangannya sehingga timbul cadangan daripada pelbagai pihak meminta Zii Jia kembali sahaja ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ramai yang melihat BAM mampu membantu memulihkan pemain berbakat besar itu, tetapi, jika ia menjadi realiti banyak juga yang perlu dikorbankan Zii Jia bagi mengikuti kembali program latihan di bawah teraju Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia, Kenneth Jonassen.

Dengan Piala Thomas yang akan membuka tirai kejohanan pada 24 April-3 Mei ini, Zii Jia perlu melakukan sesuatu jika dia berhajat membantu skuad kebangsaan menjulang piala berprestij itu yang kali terakhir Malaysia menang pada 1992.

Pengalaman yang dimiliki Zii Jia, sememangnya diperlukan BAM kerana dia mampu menjadi senjata terakhir Malaysia selaku perseorangan ketiga.

Tetapi, dengan keadaan kecergasan dan mental Zii Jia yang sudah tentu kini berada di paras terendah, adakah dia bersedia menggalas misi berat itu bagi menjadi pemain penentu kejayaan skuad negara?

Atau BAM perlu mencari alternatif lain, satu keputusan drastik dan mungkin mencetuskan kontroversi iaitu dengan mempertaruhkan pemain ke-46 dunia, Aidil Sholeh Ali Sadikin selaku perseorangan ketiga dan Kong Wei Xiang, 17, yang merupakan juara Kejohanan Kebangsaan Bawah-21 Tahun sebagai perseorangan keempat (simpanan).

Bercakap tentang Wei Xiang, pemain itu mempamerkan prestasi yang baik sewaktu menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), baru-baru ini dan dia hampir mengejutkan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia sebelum tewas 17-21, 21-13, 16-21.

Bagaimanapun, dapat difahami jika BAM masih mahu mengekalkan Zii Jia kerana pengalamannya amat diperlukan skuad kebangsaan dan mungkin semangat bermain dalam acara berpasukan berbeza dengan individu.

Kalau ditanya sama ada Zii Jia masih relevan untuk membantu Malaysia pada Piala Thomas, jawapannya sudah tentu khidmat pemain itu diperlukan negara, tetapi, keputusan tersebut bakal hadir dengan risiko berdasarkan prestasi semasanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN