PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina bagi memberi tumpuan penuh kepada pusingan terakhir Piala Dunia Trek yang bakal berlangsung di Nilai bulan depan.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pihaknya mahu Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman memberi fokus kepada kejohanan bertaraf dunia yang kembali dianjurkan di Malaysia selepas 25 tahun.
Turut tidak akan beraksi di Tagaytay ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang juga digesa memberi keutamaan kepada kejohanan itu di Velodrom Nasional, Nilai.
“Kami di PKBM berpendapat adalah lebih baik sekiranya Azizulhasni memfokuskan tenaganya kepada Siri Piala Dunia Trek yang akan diadakan di Nilai nanti, apatah lagi ia kembali dianjurkan di tempat sendiri selepas 25 tahun.
“Saya sendiri secara peribadi mahu Azizulhasni memberi tumpuan kepada Siri Piala Dunia Trek Kuala Lumpur dan perkara sama juga buat kepada Shah Firdaus,” kata Amarjit dalam kenyataan.
Ketiadaan dua pelumba utama itu membuka ruang kepada pelumba muda meningkat naik seperti Lau New Joe yang kini berada di ranking ke-17 dunia untuk membawa cabaran negara di pentas Asia.
“Saya percaya ACC Trek 2026 di Tagaytay boleh menjadi medan ujian terbaik untuk pelumba muda yang sedang meningkat naik menguji kekuatan mereka menentang pelumba Asia,” katanya.
Ketika ini, kem berbasikal trek negara kecuali Azizulhasni berkelana di Melbourne, Australia bagi kem latihan insentif sejak awal Mac sebelum bergerak ke Filipina pada 20 Mac untuk ACC yang bakal berlangsung pada 25 hingga 31 Mac ini.-UTUSAN










