LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya Viktor Gyokeres akan terus menjadi ‘mesin gol’, sekali gus memberi impak besar dalam misi The Gunners memburu empat trofi musim ini.
Sebelum ini, Gyokeres bergelut menyesuaikan diri selepas menyertai Arsenal dari Sporting CP, namun situasi itu berubah apabila konsisten menjaringkan gol untuk skuad kendalian Arteta.
Dua gol ketika membenam seteru London, Tottenham Hotspur 4-1 hujung minggu lalu menyaksikan bintang Sweden itu kini meledak lapan gol dalam semua kejohanan sepanjang 2026.
Dengan 10 jaringan liga musim ini, Gyokeres sudah mengatasi jumlah tertinggi yang diraih mana-mana pemain Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Prestasi meyakinkan itu hadir tepat pada masanya ketika Arsenal mendahului carta EPL dan turut bersaing dalam tiga lagi kejohanan utama musim ini.
Arteta percaya penyerang berusia 27 tahun itu masih ada ruang untuk meningkat seiring proses menyesuaikan diri dengan rentak EPL serta keserasian bersama rakan sepasukan.
“Kami tahu kualitinya. Dia adalah penyerang luar biasa. Kami perlu manfaatkan kelebihannya dan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik. Saya rasa kami berada di landasan tepat,” kata Arteta.
Arsenal bakal menerima kunjungan seteru setempat, Chelsea FC awal pagi esok dalam usaha mengekalkan kelebihan lima mata di tangga teratas EPL, manakala Manchester City berpeluang merapatkan jurang kepada dua mata sekiranya menewaskan Leeds United.
Biarpun masih segar dengan kejayaan menyingkirkan Chelsea pada separuh akhir Piala Liga, Arteta menegaskan keputusan itu tidak memberi sebarang kelebihan menjelang aksi minggu ini.
Dalam saingan Eropah, Arsenal mara ke kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) dan bakal berdepan wakil Jerman, Bayer Leverkusen berdasarkan undian terbaru.
Selain memburu kejuaraan EPL, Arsenal turut mara ke final Piala Liga menentang Manchester City serta pusingan kelima Piala FA.- AGENSI










