BUENOS AIRES: Bintang sensasi, Lionel Messi disahkan akan kembali dalam kesebelasan utama bagi aksi persahabatan menentang Zambia, esok.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni yang mengesahkan Messi akan mengetuai jentera serangan dalam perlawanan terakhir di laman sendiri sebelum menghadapi Piala Dunia.
Menurut Scaloni, Messi yang sebelum ini hanya beraksi sebagai pemain gantian ketika kemenangan 2-1 ke atas Mauritania kini bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Messi akan berada dalam kesebelasan utama,” katanya.
Dalam masa sama, Scaloni memberi bayangan bahawa pemain berusia 38 tahun itu berkemungkinan akan beraksi dalam Piala Dunia akan datang yang dijangka menjadi penampilan terakhirnya di pentas tertinggi bola sepak dunia.
“Yang penting dia hadir dan menikmati kejohanan itu. Secara teorinya, itu mungkin Piala Dunia terakhirnya,” katanya.
Tambah Scaloni, barisan utama Argentina yang cemerlang dalam kempen kelayakan zon Amerika Selatan akan diturunkan sebagai persiapan akhir sebelum kejohanan sebenar bermula.
“Kebanyakan pemain utama akan beraksi. Ini adalah ujian terakhir sebelum kami membuat beberapa perubahan untuk menilai pemain muda,” katanya.
Mengulas prestasi hambar ketika menentang Mauritania, Scaloni menegaskan ia bukan gambaran sebenar kekuatan pasukannya.
“Saya yakin prestasi sebenar pasukan bukan seperti yang dipamerkan tempoh hari. Jika perlu, kami akan membuat perubahan namun pemain sedia ada masih layak diberi kepercayaan,” katanya lagi. – AFP










