LONDON: Max Verstappen memberi bayangan mengenai masa depannya dalam Formula Satu (F1) apabila menyatakan dia kini semakin hampir di penghujung kerjaya.
Pelumba Red Bull Racing berusia 28 tahun itu masih terikat kontrak sehingga penghujung musim 2028 selepas menandatangani perjanjian jangka panjang pada Mac 2022.
Namun, difahamkan juara dunia empat kali itu mempunyai klausa prestasi yang berpotensi membuka ruang untuk beliau meninggalkan pasukan lebih awal.
Situasi iru sekali lagi mencetuskan spekulasi hangat menjelang musim baharu, lebih-lebih lagi selepas Verstappen secara terbuka mengkritik jentera generasi 2026.
“Saya akan katakan sudah tentu peraturan semasa tidak membantu jangka hayat kerjaya saya dalam F1. Katakan begitu sahaja,” katanya.
Verstappen, yang bergelar juara dunia empat kali berturut-turut, menegaskan beliau tidak terlalu obses mengejar rekod atau meninggalkan legasi.
“Siapa peduli apabila anda berumur 60 atau 70 tahun sama ada anda menang empat atau 10 gelaran? Saya lebih rela habiskan masa bersama keluarga. Itu lebih bermakna,” ujarnya.
Menurutnya, kehidupan di luar litar kini semakin menjadi keutamaan, terutama selepas bergelar bapa pada 2025.
“Minggu lalu saya bermain ski bersama rakan dan keluarga. Detik seperti itu membuatkan saya sedar betapa berharganya masa bersama orang tersayang.
“Siapa peduli jika perlu mengelilingi dunia 24 kali setahun demi memburu satu lagi gelaran?” katanya.
Pelumba Belanda itu sebelum ini menyifatkan kereta baharu 2026 sebagai tidak begitu menyeronokkan dan mengibaratkannya seperti Formula E, satu sindiran tajam terhadap hala tuju teknikal F1.-AGENSI










