Tiada slot automatik dalam Harimau Malaya

Tiada slot automatik dalam Harimau Malaya

PETER Cklamovski mahu membariskan skuad terbaik ketika berdepan Vietnam pada Mac depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilihan pemain Harimau Malaya dibuat berdasarkan prestasi, data dan komitmen atas padang, sekali gus memberi mesej jelas tiada tempat automatik dalam skuad negara.

Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski berkata, beliau mahu membina asas kukuh demi memastikan masa depan bola sepak negara lebih cerah dan berdaya saing di pentas Asia.

Menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam, jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan fokusnya tidak tertumpu kepada aksi itu sahaja kerana tumpuannya melangkaui satu perlawanan.

“Pemilihan pemain dibuat berdasarkan prestasi, data dan komitmen di padang latihan, sekali gus memberi mesej jelas tiada tempat automatik dalam skuad.

“Saya tidak melihat hanya satu perlawanan. Saya melihat masa depan bola sepak Malaysia. Apa yang kita bina hari ini akan menentukan kedudukan kita pada 2026 dan seterusnya.

“Saya mahu meninggalkan bola sepak Malaysia dalam keadaan lebih baik daripada ketika saya datang. Itu tanggungjawab saya,” katanya.

Menurut Cklamovski, persaingan sihat dalam pasukan menjadi keutamaan apabila pemain muda akan terus diberi peluang membuktikan kemampuan, manakala pemain senior perlu menggandakan usaha untuk mengekalkan tempat dalam skuad.

Beliau turut menekankan aspek kepimpinan sebagai elemen wajib dalam setiap pemain bagi memastikan pasukan lebih lengkap

“Setiap pemain perlu ada mentaliti pemimpin. Kita tidak boleh bergantung kepada seorang kapten sahaja. Apabila semua pemain ada jiwa kepimpinan, disiplin meningkat, standard latihan meningkat dan pasukan menjadi lebih kuat,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan pembangunan infrastruktur dan ekosistem bola sepak tempatan perlu bergerak seiring dengan kemajuan skuad kebangsaan.

“Peningkatan kemudahan latihan, padang dan stadium akan memberi impak besar bukan sahaja kepada pasukan negara, malah kepada liga domestik,” ujarnya.

Mengulas isu tujuh pemain warisan yang menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas digantung oleh FIFA, Cklamovski optimis mereka mampu kembali memperkuatkan pasukan.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

“Saya sentiasa percaya kepada harapan. Jika mereka kembali, mereka boleh menjadi sebahagian daripada projek ini. Sasaran kami jelas, mahu bersaing dan cuba menjuarai kejohanan Asia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN