KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei mahu peminat badminton bersatu memberikan sokongan kepada pemain Malaysia termasuk ketika tewas.
Anak jati Melaka itu berkata, dia bangga dapat mewakili negara di pentas antarabangsa dan baginya menang atau kalah itu satu perkara biasa yang perlu diharungi setiap atlet.
“Saya rasa rakyat Malaysia kena bersatu hati. Kami berlatih bersungguh-sungguh dan bermain untuk negara. Kami rasa sangat bangga sebagai rakyat Malaysia untuk mewakili negara kita.
“Semua pemain pun sama, mereka bangga bermain untuk negara. Tak kisah menang atau kalah, yang penting kita bersatu dan bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.
Ee Wei yang bergandingan bersama Chen Tang Jie, sebelum ini mendedahkan ibu dan bapanya menjadi sasaran hinaan peminat yang kurang berpuas hati terhadap prestasinya.
Menurut Ee Wei, sebagai atlet, dia perlu kuatkan hati untuk menghadapi setiap kritikan yang dilemparkan, tetapi setiap teguran tersebut biarlah membina dan bukannya menghina.
Pemain itu, bagaimanapun, mengakui bukan semua peminat yang bersikap negatif, malah, masih ramai rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kepadanya tanpa berbelah bagi.
“Kritikan itu biasa, kalau tak ada orang kritik kita tak boleh bertambah baik. Tapi janganlah sampai menghina orang. Kadang-kadang kalau saya keluar pun saya rasa takut kalau ada orang mahu buat sesuatu.
“Ramai peminat yang sentiasa menyokong saya. Itu buat saya rasa gembira dan terharu sebab ramai lagi yang berdiri di belakang saya. Itu memerikan saya lebih semangat untuk bermain demi mereka,” ujarnya.
Dalam nada gurauan, Ee Wei berkata, selepas menjuarai Indonesia Masters, dia belum lagi menerima sebarang kata-kata cacian daripada peminat.
“Biasalah, kalau kalah kita kena teruk, kalau menang tak ada orang cakap (kecam). Kita tak boleh kawal apa orang mahu cakap, yang penting diri sendiri kena tahu apa yang masuk akal untuk permainan kita dan apa yang perlu diketepikan,” tegasnya.-AGENSI










