Sultan Selangor dukacita, cadang penyokong bersalah

Sultan Selangor dukacita, cadang penyokong bersalah diharamkan masuk ke stadium

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.- Ihsan Selangor Royal Office
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong Selangor FC.

Baginda sebagai Penaung Selangor FC tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi Selangor FC.

Sehubungan itu, Baginda mahu agar pihak Polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.

“la sebagai pengajaran kepada penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang. Baginda menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.

“Baginda turut mencadangkan penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” menurut kenyataan media di laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 33 individu dipercayai penyokong Selangor FC dibawa ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, semalam untuk mendapatkan perintah reman susulan kejadian berkenaan.

Terdahulu, Selangor FC dalam kenyataan meluahkan kekesalan dengan insiden terbabit dan menegaskan bahawa salah laku sedemikian bercanggah dengan nilai yang diperjuangkan oleh Gergasi Merah serta komuniti bola sepak negeri itu.

Susulan daripada itu, Selangor FC turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan tegas yang diambil bagi melindungi ketenteraman dan keselamatan warga awam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN