KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi yang dipamerkan pemain profesional negara, Goh Jin Wei pada Thailand Masters, memberi petanda positif buat skuad Piala Uber dalam membentuk pasukan yang lebih seimbang dalam sektor perseorangan.
Justeru, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengharapkan pemain No. 55 dunia itu bersetuju menyertai skuad negara menjelang Piala Thomas/Uber di Horsens, Denmark pada 29 April-5 Mei depan.
“Keputusan terletak di tangan Jin Wei, saya fikir cara dia berjuang di Thailand telah membuktikan kepada kami bahawa dia kini telah kembali pada tahap yang tertinggi.
“Sudah tentu saya mahukan pasukan yang seimbang di mana kita berpotensi mempunyai tiga pemain perseorangan wanita pada tahap hampir sama. Ia secara tidak langsung menjadikan skuad Piala Uber sebagai sebuah pasukan yang sangat kompetitif,” katanya.
Sehingga kini, Jin Wei masih belum memberi kata putus sama ada menyertai skuad Piala Uber atau sebaliknya dan pemain itu meminta tempoh seminggu untuk membuat keputusan.
Jonassen berkata, skuad Piala Uber negara mungkin bukanlah tandingan pasukan pilihan, tetapi Malaysia sekurang-kurangnya hadir dengan barisan terkuat untuk memberi cabaran.
Jelas beliau, Jin Wei telah membuktikan tahap dia berada setiap kali beraksi pada kejohanan besar dan sebagai perseorangan ketiga , pemain itu mampu memainkan peranan yang menarik buat pasukan.
“Kehadiran Jin Wei memberi kedalaman kepada pasukan (squad depth). Dia juga seorang pemain berpengalaman yang mampu memberi manfaat kepada skuad,” ujarnya.
Pengendali berasal dari Denmark itu juga menuntut komitmen yang tinggi kepada semua pemain termasuk pemain profesional dan pihaknya mengharapkan jawapan positif daripada Jin Wei serta perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.
Selain Jin Wei, skuad Piala Uber negara bakal diperkuatkan K. Letshanaa (No. 38 dunia), Wong Ling Ching (41 dunia) dan mungkin pemain muda, Siti Zulaikha Muhammad Azmi (No. 89 dunia).
Bagi sektor beregu, Malaysia memiliki jaguh No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah, manakala, calon untuk gandingan kedua serta ketiga, pasangan muda mungkin menjadi pilihan iaitu Ong Xin Yee-Carmen Ting (No. 25 dunia) dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan.-UTUSAN











