PETALING JAYA: Selangor FC tetap mara ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN biarpun terikat 1-1 dengan BG Pathum United dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Dalam aksi berkenaan, Gergasi Merah terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir 70 minit selepas pemain import mereka, Alvin Fortes dilayangkan kad merah pada babak pertama selepas mengasari pemain pelawat.
Terdahulu, kelab Thailand itu mendominasi awal permainan dalam usaha mereka memburu kemenangan dan anak buah Kim Pan Gon terpaksa bekerja keras mengagalkan deretan gerakan yang diatur lawan.
Ketika cuba mendapatkan rentak terbaik, anak buah menerima tamparan hebat apabila Fortes dilayangkan kad merah pada minit ke-25 kerana mengasari kapten BGPU, Kritsada Kaman.

Bertindak balas ke atas serangan lawan, Selangor FC berada di hadapan menerusi Faisal Halim yang memanfaatkan umpanan Chrigor Moraes pada minit ke-36 untuk meledak gol pembukaan.
Bersambung babak kedua, BG Pathum United menggandakan usaha untuk memburu penyamaan dan hasilnya, pertahanan Selangor, Richmond Ankrah tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-65.
Tersentak dengan gol penyamaan itu, Pan Gon membawa masuk Harith Haiqal Adam Afkar dan Zikri Khalili untuk mengukuhkan barisan pertahanan dan usaha itu berhasil apabila Gergasi Merah berjaya menghalang lawan menambah jaringan.
Keputusan tersebut menyaksikan Selangor melangkah ke separuh akhir apabila menamatkan saingan Kumpulan A sebagai naib juara, berkongsi sembilan mata bersama juara kumpulan, Buriram United yang membelasah Cebu FC 6-0.- UTUSAN










