Real menang 'lawan' isu perkauman

Real menang ‘lawan’ isu perkauman

Vinicius Junior mendakwa beliau dihina dengan isu perkauman ketika aksi pertama berdepan Benfica minggu lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pemain tengah Real Madrid Aurelien Tchouameni menyifatkan pasukannya bukan sekadar mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara, tetapi turut ‘menang’ melawan isu perkauman.

Gergasi Sepanyol itu menempah slot ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menewaskan Benfica 2-1 pada aksi timbal balik di Santiago Bernabeu, semalam.

Tchouameni menyifatkan kejayaan itu bukan sekadar kemenangan di atas padang, sebaliknya membawa makna lebih besar susulan isu perkauman yang tercetus pada aksi pertama minggu lalu.

Dalam aksi terdahulu yang dimenangi Real 1-0, perlawanan dicemari dakwaan penghinaan berbaur perkauman terhadap Vinicius Junior oleh pemain Benfica, Gianluca Prestianni.

“Kami tidak beraksi dalam perlawanan terbaik musim ini, itu pasti. Tetapi saya fikir ada perkara yang lebih penting daripada perlawanan ini dan lebih penting daripada bola sepak.

“Kemenangan ini buat semua yang menentang rasisme,” kata Tchouameni.

Vinicius sekali lagi menjadi tumpuan apabila meledak gol kedua Real, sekali gus memastikan kemaraan pasukan gergasi Sepanyol itu.

Susulan insiden tersebut, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menggantung sementara Prestianni sementara siasatan dijalankan, malah rayuan Benfica untuk mengetepikan penggantungan itu turut ditolak pada hari perlawanan.

Selepas wisel penamat, Vinicius menulis di media sosial: “Tarian masih diteruskan,” sambil memuat naik gambar kain rentang besar tertera mesej ‘tidak kepada rasisme’ di Bernabeu.

Sementara itu, jurulatih Real, Alvaro Arbeloa, mengakui gembira melihat Vinicius kembali menemui sentuhan penyudah.

Arbeloa turut memaklumkan penyerang Perancis, Kylian Mbappe, direhatkan buat sementara waktu bagi memulihkan kecederaan lutut.

“Sudah tentu saya gembira, bukan sahaja kerana gol hebat yang dijaringkannya tetapi kerana ia dilakukan olehnya, dia memang layak.

“Kami berasakan langkah terbaik adalah dia berehat seketika untuk pulih sepenuhnya dan kembali dalam keadaan terbaik tanpa sebarang kesakitan,” jelasnya.– AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN