PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Qabil Irfan Azlan akan beraksi dalam saingan Moto4 Piala Eropah musim 2026 bersama pasukan MLav Junior Team.
Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, walaupun Qabil memegang status sebagai pelumba Asia pertama menjuarai ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025, tetapi untuk mencari pasukan terbaik buat anak muda itu tidak mudah.
“Sejujurnya, proses kali ini sangat mencabar dan agak menguji mental saya sebagai pengurus pasukan. Walaupun Qabil hadir sebagai juara ESBK, ia bukan tiket automatik untuk mendapatkan tempat dalam pasukan terbaik di Eropah.
“Kami masih perlu menyakinkan mereka tentang potensi jangka panjang, komitmen dan perancangan kami. Dalam masa sama, terdapat beberapa kos penting yang perlu kami tanggung demi memastikan Qabil mendapat pakej yang benar-benar kompetitif,” katanya.
Menurut Zulfahmi, pihaknya enggan sekadar mendapatkan tempat di grid kerana sasaran adalah untuk berada dalam pasukan yang mampu bersaing di kelompok hadapan.
Katanya, sebab itu setiap tawaran diteliti satu per satu daripada penyediaan enjin, jumlah ujian persendirian, program latihan pelumba sehinggalah kepada kualiti jurulatih dan jurutera yang akan bekerja rapat dengan Qabil.
“Semua aspek ini sangat penting untuk memastikan kesinambungan prestasinya. Tekanan memang terasa kerana masa semakin suntuk dan banyak pasukan telah menutup pintu selepas melengkapkan senarai pelumba mereka.
“Pada saat-saat akhir, kami berjaya memeterai perjanjian bersama MLav. Saya percaya ini bukan sekadar satu tempat perlumbaan, tetapi satu platform pembangunan yang tepat,” ujarnya.
Jelas Zulfahmi, dengan rekod cemerlang MLav pada musim 2025, beliau yakin Qabil berada dalam persekitaran yang sesuai untuk terus berkembang dan membuktikan dirinya di pentas Eropah.
MLav merupakan pasukan milik Michael Laverty dan hubungan baik Zulfahmi dengan bekas pelumba MotoGP itu telah menjadi jambatan penghubung dengan SIC Racing terjalin.
Sementara itu, Qabil yang akan turut beraksi pada Moto4 Piala Asia melahirkan keyakinan terhadap Zulfahmi mampu mencarikan pasukan terbaik untuknya.
“Sekarang semuanya sudah disahkan, jadi fokus saya adalah untuk berlatih bersungguh-sungguh, terus belajar dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan,” katanya.-UTUSAN










