MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Michael Carrick mahu pemain The Red Devils ‘memahami sejarah’ kelab itu menjelang sambutan ulang tahun ke-68 tragedi udara Munich.
Insiden hitam itu berlaku ketika skuad United dalam perjalanan pulang selepas kemenangan Piala Eropah ke atas Red Star Belgrade apabila pesawat yang mereka naiki terhempas di Munich.
Kejadian yang berlaku selepas pesawat singgah mengisi minyak itu telah mengorbankan 23 nyawa termasuk 11 pemain dan pegawai kelab gergasi England itu.
Carrick berkata demikian pada sidang akhbar praperlawanan, menjelang aksi menentang Tottenham Hotspur yang diawalkan sehari supaya tidak bertembung dengan upacara peringatan tragedi itu di Old Trafford semalam.
“Sejurus menyertai kelab ini, anda akan dimaklumkan mengenainya dan mustahil untuk tidak mengetahui serta memahami sejarahnya. Ini satu tanggungjawab apabila anda bekerja di sini.
“Sama ada sebagai pemain atau jurulatih, untuk memahami apa yang sudah dilalui sebelum ini, termasuk nilai dan tanggungjawab yang perlu kami bawa ke hadapan.
“Tragedi Munich mungkin bahagian paling besar dalam sejarah kelab ini, bukan sahaja kerana tragedi itu sendiri, tetapi bagaimana pasukan dan kelab bangkit mencipta kejayaan,” kata Carrick yang pernah berkhidmat bersama United sebagai pemain, jurulatih dan pengurus.
Carrick menikmati permulaan cemerlang bersama United selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas Manchester City, Arsenal dan Fulham baru-baru ini.
Bekas pengurus Middlesbrough itu juga mempunyai kelebihan daripada segi masa latihan apabila United hanya dijadual beraksi dalam 40 perlawanan musim ini, jumlah terendah sejak kempen 1914-15.
Keadaan itu membuka ruang kepada penganjuran perlawanan persahabatan berprofil tinggi untuk menjana pendapatan, dengan jelajah ke Arab Saudi antara kemungkinan yang dilaporkan.
Namun, Carrick berkata tiada perancangan muktamad untuk tempoh rehat 13 hari selepas perlawanan menentang West Ham minggu depan, walaupun terdapat beberapa kekosongan jadual pada Mac dan April.
“Kami sedar dengan jadual dan terdapat ruang tertentu yang boleh dimanfaatkan dengan pelbagai cara. Jadi semuanya masih dalam perbincangan buat masa ini,” katanya.- AGENSI










