PETALING JAYA: Barisan peguam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mencari hujahan dan bukti baharu jika mahu menang dalam rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 26 Februari ini.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, hujahan dan bukti baharu itu perlu dikemukan kerana hujahan sebelum ini telah gagal dalam dua peringat di Persekutuan Bolasepak Antabangsa (FIFA).
“Hujahan di CAS mungkin lebih teknikal kerana fakta jelas bahawa FAM tidak menafikan adanya dokumen palsu, malah menyatakan bahawa ada orang dalam FAM yang palsukan dokumen berkenaan.
“Jadi, langkah terbaik (oleh peguam FM) mungkin hujahan teknikal dan undang-undang berbanding hujahan fakta (pada pendengaran di CAS pada 26 Februari ini),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada dokumen yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan diambil kira di CAS nanti, Nik Erman berkata, dokumen berkenaan berkemungkinan besar tidak diambil kira.
“Dokumen JPN bukannya dokumen yang akan diambilkira oleh CAS. Ini kerana rayuan di CAS adalah ke atas tuduhan pemalsuan dokumen sijil kelahiran asal. Dokumen JPN tidak menjawab dakwaan bahawa dokumen sijil kelahiran asal itu telah dipalsukan.
“Dalam apa keadaan pun, dokumen JPN hanya membukti kewarganegaraan. Untuk pemain layak bermain bukan hanya pada kewarganegaraan tetapi perlu memenuhi kriteria-kriteria lain, salah satu datuk atau nenek lahir di Malaysia. Dokumen JPN kewarganegaraan itu sahaja tidak cukup.
“Walau apa hujahan peguam FAM, saya percaya hujahan baru perlu dikemukakan kerana hujahan-hujahan sama tidak berjaya di dua peringkat FIFA,” kata Nik Erman.
Tanggal 26 Februari ini bakal menjadi tarikh keramat buat tujuh pemain warisan Harimau Malaya apabila CAS menetapkan hari berkenaan untuk pendengaran penuh kes membabitkan FAM berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain berkenaan.
CAS mengesahkan tarikh pendengaran secara fizikal itu akan berlangsung di ibu pejabatnya di Lausanne, Switzerland, sekali gus menjadi tarikh penting yang bakal menentukan hala tuju kerjaya antarabangsa tujuh pemain terbabit.
Lebih menarik, lapan kes akan didengar serentak dalam satu prosiding membabitkan FAM bersama tujuh pemain naturalisasi negara iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Perkembangan itu menyaksikan semua pihak kini menanti penuh debaran keputusan muktamad yang bukan saja memberi kesan kepada pemain terlibat, malah imej serta perancangan skuad kebangsaan.-UTUSAN










