PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon, memuji semangat juang anak buahnya apabila berjaya mengikat Terengganu FC 1-1 meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada aksi Liga Super di Terengganu, semalam.
Menurut Pan Gon, separuh masa pertama menyaksikan pasukannya agak bergelut selepas Terengganu memulakan permainan dengan lebih agresif dan menguasai lebih banyak bola.
Namun, Selangor menunjukkan peningkatan ketara pada separuh masa kedua meskipun terpaksa berdepan cabaran bermain dalam keadaan kekurangan pemain selepas Hugo Boumous dilayangkan kad merah.
“Kad merah itu memang sukar untuk diterima, tetapi kami akur. Biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, saya bangga kerana mereka tetap mencipta peluang yang boleh hampir membawa kemenangan,” katanya.
Pengendali dari Korea Selatan itu juga menegaskan keputusan perlawanan yang tidak memuaskan itu menjadi cabaran untuk mengejar posisi kedua liga, namun yakin Selangor masih mempunyai peluang untuk terus bersaing dengan baik.
“Banyak perkara perlu diperbaiki. kami hanya ada baki dua hari sahaja lagi dari segi fizikal, kami perlu pulih dengan cepat dan memperbaiki apa yang kurang dalam perlawanan ini.
“Saya rasa pada Januari dan Februari, kami ada banyak perlawanan penting. Perlawanan ini sudah pun berlalu, jadi kami perlu melupakannya, letakkan semuanya di belakang dan hanya memandang ke hadapan,” tambahnya.
Selain itu, Pan Gon turut memuji persembahan cemerlang pemain sayap, Faisal Halim, yang dilihat semakin meningkat dari segi prestasi.
“Faisal benar-benar menunjukkan kualiti terbaiknya dalam beberapa perlawanan terakhir dan saya harap dia dapat mengekalkan prestasi ini,” katanya.
Selangor FC bakal kembali ke MBPJ bagi menghadapi perlawanan Piala Shopee menentang BG Pathum United pada esok sebelum bertandang ke Paroi pada Ahad ini bagi menghadapi aksi pertama suku akhir menentang Negeri Sembilan. -UTUSAN










