'Orang lama' FAM bakal disingkirkan?

‘Orang lama’ FAM bakal disingkirkan?

FAM bakal diterajui saf kepimpinan baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkemungkinan berubah secara menyeluruh apabila lebih 90 peratus barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu dijangka diisi oleh individu baharu.

Walaupun belum ada pengumuman rasmi dibuat, sumber memaklumkan bahawa perancangan ke arah pembentukan kepimpinan baharu sedang digerakkan, sekali gus memberi bayangan era baharu bakal bermula dalam pengurusan bola sepak negara.

Menurutnya, kebanyakan muka lama berkemungkinan tidak lagi berada dalam struktur kepimpinan bagi penggal seterusnya, susulan perkembangan semasa yang menyelubungi badan induk itu.

“Setakat ini orang lama dalam FAM mungkin tiada lagi dalam barisan kepimpinan FAM. Ramai mungkin menunggu daripada keputusan Mahkamah Timbang Tara (CAS) kerana bimbang FAM digantung atau kena tindakan lebih buruk lagi nanti.

“Tapi desas desus mengatakan orang baru akan pimpin FAM kelak. Jadi, apa pun kita tunggu nanti,” kata sumber berkenaan.

Difahamkan, keputusan daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menjadi antara faktor utama mengapa tiada kenyataan terbuka dikeluarkan setakat ini, memandangkan sebarang keputusan boleh memberi kesan besar kepada hala tuju FAM.

Terdapat kebimbangan bahawa keputusan yang tidak memihak mungkin membawa implikasi lebih serius termasuk risiko tindakan lanjut daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus menyebabkan beberapa individu memilih pendekatan tunggu dan lihat sebelum menawarkan diri untuk memimpin.

Sebelum ini, FAM mengumumkan semua Exco meletakkan jawatan serta-merta susulan hukuman dikenakan FIFA terhadap badan kebangsaan itu dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen.

Langkah tersebut membuka ruang kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membantu menjalankan penilaian dalaman secara menyeluruh.

Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini turut mengesahkan bahawa setakat ini tiada mana-mana bekas Exco menyatakan hasrat untuk kembali bertanding, sekali gus menguatkan lagi kemungkinan berlakunya perubahan besar dalam kepimpinan badan induk itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN