MELAKA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu anak buahnya kekal fokus menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC pada April depan.
Menurutnya, walaupun berdepan jadual padat, itu bukan alasan untuk para pemain tidak meneruskan rentak cemerlang dalam semua perlawanan termasuk aksi separuh akhir Piala Malaysia.
“Kami berada dalam momentum yang baik tetapi tiada apa yang sudah selesai. Di peringkat separuh akhir, kami akan berdepan KL City FC yang saya anggap cukup kental.
“Pemain perlu kekalkan mentaliti, tenaga dan karakter yang sama sehingga minit terakhir,” katanya selepas tamat perlawanan suku akhir kedua berdepan Melaka FC di Stadium Hang Jebat, kelmarin.
JDT selaku pasukan pilihan untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan Melaka FC 3-1 untuk mara menerusi agregat 8-1.
Munoz berkata, aksi separuh akhir menentang KL City dijangka menjadi ujian sebenar buat skuad bimbingannya dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
Jelasnya, aspek penggiliran pemain menjadi keutamaan bagi memastikan tahap kecergasan skuadnya sentiasa berada pada tahap optimum, terutama apabila beraksi dalam tempoh masa yang singkat.
“Saya tidak boleh menggunakan pemain yang sama tiga atau empat kali dalam tempoh 10 hari, namun saya bertuah mempunyai ramai pemain berkualiti,” ujarnya.
Jurulatih itu berkata, barisan pemainnya sentiasa bersedia memberikan 200 peratus apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.
Mengulas kemenangan ke atas Melaka FC, Munoz mengakui ia bukan persembahan terbaik skuad Harimau Selatan, namun tetap berpuas hati dengan keputusan yang diraih.
“Ini bukan aksi terbaik tetapi yang paling penting adalah keputusan. Kami perlu belajar daripada beberapa kesilapan dalam perlawanan besar, kesilapan kecil boleh membawa padah,” katanya.-UTUSAN










