Korda kebal cuaca ekstrem, ungguli pembukaan LPGA

Korda kebal cuaca ekstrem, ungguli pembukaan LPGA

Nelly Korda mempamerkan ketahanan mental dan teknikal tinggi apabila mengatasi cuaca sejuk serta angin kencang.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORLANDO: Pemain golf No.2 dunia, Nelly Korda mempamerkan ketahanan mental dan teknikal tinggi apabila mengatasi cuaca sejuk serta angin kencang untuk menerajui kejohanan pembuka musim LPGA Tournament of Champions di Lake Nona Country Club.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu mencatat lapan bawah par 64 hasil tujuh birdie dan satu eagle untuk mendahului dengan kelebihan tiga pukulan selepas tiga pusingan dengan agregat 13 bawah par.

“Ia seperti melemparkan segala-galanya kepada pemain, semua berada dalam situasi sama dan anda perlu benar-benar fokus kepada sasaran.

“Saya banyak memukul pukulan rendah melawan angin dan cabaran terbesar sebenarnya apabila suhu mula menurun sejak lubang ketiga,” kata Korda.

Angin mencecah hampir 40 kilometer sejam menyebabkan permainan dihentikan sementara dengan beberapa pemain masih di padang, termasuk situasi dramatik apabila bola putt ditolak keluar dari green di lubang ke-17.

Pemain Korea Selatan, Amy Yang, berada di tempat kedua dengan 10 bawah par, manakala Lydia Ko dari New Zealand berkongsi kedudukan ketiga bersama Hwang You-min pada lapan bawah par.

Korda yang kali terakhir menang pada November 2024 memulakan pusingan cemerlang dengan dua birdie berturut-turut sebelum melakukan eagle di lubang ketiga.

Beliau menegaskan kejayaan mengharungi lubang-lubang terakhir dalam cuaca sukar itu memberi keyakinan besar menjelang baki kejohanan dan musim LPGA yang panjang.

“Dari lubang ke-15 hingga penamat saya tahu ia akan menjadi sangat sukar tidak kira bermain pada waktu apa sekali pun, jadi saya gembira dapat mengharunginya,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN