Kenapa Pengurusan Harimau Malaya membisu?

Kenapa Pengurusan Harimau Malaya membisu?

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan pasukan pengurusan skuad kebangsaan kini menjadi tanda tanya selepas barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan jawatan beramai-ramai, minggu lalu.

Tujuan Exco FAM meletak jawatan adalah atas dasar tanggungjawab dan sayangkan bola sepak negara daripada digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ekoran isu pemalsuan dokumen tujuh pemain negara.

Bagaimanapun, kini timbul persoalan sama ada pengurusan skuad kebangsaan yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rob Friend bakal mengikut langkah yang sama kerana sehingga kini, tiada langkah drastik diambil.

Menurut bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, beliau turut tertanya-tanya mengenai kedudukan pengurusan skuad kebangsaan yang diketahui umum bergerak secara berasingan daripada FAM.

Katanya, daripada awal sudah diterangkan bahawa pengurusan skuad Harimau Malaya akan menguruskan sepenuhnya secara profesional tentang persiapan pasukan, pemilihan pemain, penyediaan kemudahan serta ‘kerja-kerja’ mengesan pemain naturalisasi yang boleh memperkuatkan padukan negara.  

“Saya sendiri tertanya-tanya juga mengenai pengurusan skuad kebangsaan. Bagi saya, adakah tidak adil tanggungjawab dipikul oleh semua Exco FAM yang sebenarnya baharu dilantik, tetapi terpaksa meletakkan jawatan selepas 11 bulan dilantik.

“Sedangkan pengurusan skuad Harimau Malaya itu sudah dibentuk ketika Exco yang lama lagi. Memang tidak wajar untuk Exco baharu yang meletakkan jawatan.

“Malah, mana pergi pengurusan skuad Harimau Malaya. Kenapa mereka tidak ambil tanggungjawab sama seperti Exco. Proses dokumentasi bermula dari pengurusan kebangsaan, jadi mereka juga perlu ambil tanggungjawab,” katanya.

Pada Rabu lalu, bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam sidang media mengumumkan semua Exco badan induk bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden FAM memaklumkan keputusan itu dibuat secara sebulat suara, dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.

Untuk rekod, FIFA menerusi Jawatankuasa Tatatertib menjatuhkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain negara iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel serta denda.

Begitupun, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengeluarkan arahan Penangguhan Pelaksanaan, di mana ia membolehkan pemain berkenaan beraksi semula sehingga keputusan penuh di keluarkan CAS pada atau selepas 26 Februari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN