PETALING JAYA: Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John mengesahkan kedudukan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak terjejas
Menurut Windsor, meskipun barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu meletakkan jawatan secara beramai-ramai, Rabu lalu, Hamidin kekl sebagai Presiden Kehormat kerana jawatan dipegangnya bukan posisi yang dipertandingkan.
Katanya, jawatan Presiden Kehormat tidak tertakluk kepada proses pemilihan kongres, sebaliknya dilantik menerusi Mesyuarat Exco.
“Kedudukan Presiden Kehormat tidak tergugat kerana ia bukan jawatan yang dipilih melalui kongres. Presiden Kehormat dilantik dalam Mesyuarat Exco sahaja.
“Ia sama seperti jawatan Bendahari Agung yang juga tidak dipertandingkan, sebaliknya dilantik menerusi Mesyuarat Exco. Jadi kedua-dua jawatan itu tidak terjejas,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peranan Presiden Kehormat bersifat simbolik dan tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif dalam pentadbiran FAM.
“Presiden Kehormat tidak mempunyai kuasa langsung, termasuk membuat sebarang keputusan berkaitan pengurusan atau hal ehwal FAM,” katanya.
Sebelum ini, barisan Exco FAM mengambil keputusan meletakkan jawatan secara kolektif sebagai langkah memberi laluan kepada AFC menjalankan proses penilaian menyeluruh terhadap struktur pentadbiran dan tadbir urus badan induk bola sepak negara itu.
Tindakan berkenaan bertujuan membolehkan perubahan dan penambahbaikan dilaksanakan secara teratur di bawah pemantauan AFC, sekali gus memperkukuh semula urustadbir FAM pada masa depan.-UTUSAN










