PETALING JAYA: Pengakhiran anti klimaks, Goh Jin Wei gagal menamatkan perlawanan akhir menentang pemain muda India, Devika Sihag apabila perseorangan wanita Malaysia itu menarik diri sewaktu permainan sedang berlangsung di set kedua pada Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, hari ini.
Pemain ke-68 dunia itu hanya bertahan selama 17 minit sewaktu beraksi menentang Sihag yang menghuni ranking ke-63 dunia sebelum menarik diri dengan keputusan 8-21, 3-6 di Stadium Nimibutr.
Selaku naib juara pada kejohanan Super 300 itu, bekas juara remaja dunia tersebut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$9,500 (RM37,448) beserta pingat perak.
Jin Wei belum pernah merangkul sebarang gelaran pada Jelajah Dunia Akhir dan muncul sebagai naib juara Thailand Masters adalah pencapaian terbaiknya setakat ini.

Anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu difahamkan mengalami kecederaan yang masih belum dipastikan sehingga memaksa dia tidak menamatkan permainannya.
Thailand Masters merupakan kemunculan pertama Jin Wei, musim ini, selepas dia mengambil keputusan berehat seketika selepas Korea Masters, November lalu.
Jin Wei juga tidak menyertai Jepun Masters, Terbuka Australia dan Kejohanan Antarabangsa Syed Modi yang menjadi pertandingan terakhir Jelajah Dunia BWF bagi musim 2025.
Untuk rekod, hanya bekas legenda perseorangan wanita negara, Datin Seri Wong Mew Choo pernah merangkul gelaran tertinggi menerusi Terbuka China pada 2007 dan Super Series Akhir BWF pada 2009.
Selepas persaraan Mew Choo, belum ada lagi pemain perseorangan wanita negara yang mampu menandingi pencapaian beliau. – UTUSAN










