PETALING JAYA: Atlet triathlon Jepun, Takuto Oshima, membuktikan statusnya sebagai antara pelumba terbaik Asia apabila muncul juara kategori elit lelaki pada Kejohanan Piala Asia Triathlon (ATC) 2026 yang berlangsung di sini, hari ini.
Pelumba yang menghuni ranking ke-10 Asia itu menampilkan persembahan konsisten dan berdisiplin sepanjang perlumbaan sebelum menamatkan cabaran dengan masa 53 minit 49 saat untuk menewaskan dua rakan senegaranya, Kazushi Jozuka dan Genta Uchida, masing-masing mencatat 54:00s dan 54:02s.
Dalam saingan elit wanita pula, dominasi atlet China diteruskan apabila Lin Xinyu tampil sebagai pemenang selepas mengatasi pencabar lain dalam perlumbaan yang berlangsung sengit.
Kejayaan di Putrajaya melengkapkan hatrik gelaran ATC buat Oshima selepas sebelum ini turut menguasai perlumbaan di Subic Bay, Filipina dan Yilan, Taiwan pada musim lalu, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai kuasa utama triathlon Asia.

“Ini adalah kali pertama saya berlumba di Malaysia dan harus diakui ia merupakan negara yang hebat. Cuacanya sangat panas dan mencabar fizikal tetapi saya dapat mengharungi perlumbaan dengan baik,” kata Oshima.
Dalam kategori wanita pula, Xinyu yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Asia Hangzhou 2022 menyifatkan, keadaan cuaca yang sangat mencabar membuatkan kemenangannya itu lebih bermakna.Pakaian sukan
Dia yang juga atlet No.3 Asia menamatkan perlumbaan menerusi catatan masa 1 jam 00 minit 44 saat (s) menewaskan rakan senegara, Lu Meiyi (1’00:45s) serta peserta Jepun, Mako Hiraizumi (1’01:11s).
“Semua atlet berlumba dalam cuaca yang sama, jadi ia adil. Cuaca sangat panas dan mencabar, jadi mencatat kemenangan di Malaysia membuatkan saya rasa sangat bangga,” kata Xinyu.
Sementara itu, peserta negara, Isaac Tan turut membanggakan Malaysia apabila memenangi kategori Kejohanan Asia Tenggara (SEA) lelaki selepas menamatkan saingan di tempat ke-19 keseluruhan dengan catatan 56:14s.
“Memenangi perlumbaan di laman sendiri sangat istimewa. Saya kekal sabar dan percaya kepada pelan perlumbaan selain memberikan segala-galanya hingga ke garisan penamat,” ujar Isaac.
Kategori SEA wanita pula dimenangi peserta Indonesia, Martina Ayu Pratiwi yang melintasi garisan penamat dengan catatan masa 1’01:49s.
Sebagai rekod, ATC Putrajaya 2026 merupakan anjuran Eventure Global dengan sokongan Malaysia Triahtlon dan ia menjadi sebahagian daripada festival sukan dua hari melibatkan perlumbaan elit, junior, belia serta kumpulan umur. –UTUSAN










