LIVERPOOL: Pemain tengah Everton, Jack Grealish meluahkan kekecewaannya apabila terpaksa menamatkan musim ini dengan lebih awal selepas menjalani pembedahan akibat keretakan tekanan kakinya.
Grealish, menyertai Everton secara pinjaman sepanjang musim daripada Manchester City, mengalami kecederaan tersebut ketika membantu pasukannya menewaskan Aston Villa 1-0 pada 18 Januari lalu.
Pemain berusia 30 tahun itu telah membuat 22 penampilan dalam semua kejohanan bersama The Toffees musim ini dengan menyumbang dua gol serta enam bantuan jaringan.
“Bukan begini saya mahu musim ini berakhir, tetapi itulah realiti bola sepak. Saya benar-benar kecewa,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurut Grealish, pembedahan telah berjaya dilakukan dan dia kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan.
“Saya yakin akan kembali lebih cergas, lebih kuat dan lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.
Kecederaan tersebut turut memadamkan peluang Grealish untuk disenaraikan dalam skuad England bagi menghadapi Piala Dunia yang akan berlangsung pada musim panas ini, meskipun prestasi cemerlangnya bersama Everton sebelum ini mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan dia dipanggil semula ke skuad kebangsaan.
Penampilan terakhir Grealish bersama England adalah pada Oktober 2024 di bawah kendalian pengurus sementara, Lee Carsley.
Grealish sebelum ini menikmati kejayaan besar bersama Manchester City selepas menyertai kelab itu dari Aston Villa pada 2021 memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA. – AGENSI










