LONDON: Michael Carrick tidak gentar dengan kritikan bekas-bekas pemain Manchester United dan bersedia untuk menjadi pengurus tetap kelab itu pada musim hadapan.
Carrick, 44, memulakan tugas dengan cemerlang di Old Trafford selepas mengambil alih daripada Ruben Amorim bulan lalu dan kini dicanang sebagai calon utama jurulatih United.
Beliau mengemudi kelab itu meraih empat kemenangan dan satu keputusan seri dalam lima perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menghidupkan semula peluang United memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Saya bersedia untuk mainkan peranan utama (pengurus tetap). Saya benar-benar menikmatinya dan suka dengan apa yang saya lakukan.
“Saya bertuah dan rasa dihargai berada di kedudukan ini, saya percaya mampu melakukannya, saya berada di sini untuk melakukannya.
“Saya sudah katakan ketika mula datang, memang ada sedikit unsur sentimental. Saya memahami peranan ini, membesar bersama kelab ini, berada di sini, menyayangi kelab dan menjadi penyokong.
“Saya tidak menentukan berapa lama tempohnya, tetapi saya suka berada di sini dan selagi saya di sini, saya akan memberikan segala-gala yang termampu. Saya juga sentiasa merancang untuk masa depan jangka panjang demi kebaikan kelab bola sepak ini. Itulah yang saya percaya,” katanya.
Pelantikan Carrick pada awalnya menerima keraguan daripada sesetengah pihak, termasuk legenda United, Roy Keane menyifatkan keputusan kelab itu sebagai satu sarkas selain mempertikaikan kualiti barisan stafnya termasuk Jonny Evans.
Namun bagi Carrick, kritikan Keane itu langsung tidak memberi kesan kepadanya.
“Ia tidak langsung mengganggu saya. Betul, memang tidak. Saya tidak akan bermasam muka dengan sesiapa kerana perkara itu. Saya fikir ia soal saling menghormati dan saya boleh terima perkara itu.
“Saya juga fikir untuk pemain muda secara umum, ini sesuatu yang kami perlu bantu mereka hadapi dan jaga kebajikan mereka. Dunia sekarang berbeza berbanding ketika saya mula dahulu, tetapi kami lakukan perkara itu dan menjaga mereka,” katanya. – AGENSI










