MELBOURNE: Bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz muncul pemain termuda memenangi keempat-empat kejohanan Grand Slam selepas kejayaan dramatik di Terbuka Australia 2026, kelmarin.
Alcaraz menewaskan pemain Serbia, Novak Djokovic, 2-6, 6-2, 6-3, 7-5 pada aksi final di Rod Laver Arena untuk melengkapkan koleksi kejuaraan selepas muncul juara Terbuka Wimbledon, Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Terbuka Perancis.
Kejayaan pada usia 22 tahun itu menyaksikan Alcaraz memadam rekod legenda senegaranya, Rafael Nadal, yang berusia 24 tahun ketika melengkapkan Grand Slam, dengan legenda itu turut hadir menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut.
“Saya benci kepada kekalahan. Itu motivasi saya selama ini. Buat masa ini saya hanya mahu mengambil satu kejohanan pada satu masa dan menikmati apa yang telah saya capai,” kata Alcaraz.
Kejayaan di Melbourne merupakan gelaran Grand Slam ketujuh buat Alcaraz, sekali gus meletakkannya sebagai pemain utama untuk memburu pada baki tiga kejohanan utama musim ini dengan pemain No.2 dunia, Jannik Sinner dijangka menjadi pencabar terdekat.
Alcaraz turut mengharungi musim baharu dengan perubahan besar apabila berpisah dengan jurulatihnya, Juan Carlos Ferrero, pada Disember lalu sebelum Samuel Lopez mengambil alih tugas tersebut.
Bagaimanapun, bintang muda itu mengakui kejayaan di Terbuka Australia hadir tepat pada masanya untuk menutup segala spekulasi sambil berkata ianya satu penghormatan besar buatnya untuk mengukir nama dalam sejarah sukan tenis dunia.
“Saya gembira dapat membuktikan bahawa tanggapan ramai sebelum ini adalah salah. Bagi saya, ia satu penghormatan besar untuk mengukir nama dalam buku sejarah,” katanya.
Sementara itu, Djokovic memberi bayangan bahawa beliau mungkin tidak akan kembali ke Melbourne, sekali gus menghangatkan semula khabar angin persaraannya.
“Tuhan sahaja yang tahu apa akan berlaku esok, apatah lagi enam atau 12 bulan dari sekarang. Jadi ini memang satu perjalanan yang hebat. Saya sayang kamu semua,” kata Djokovic.
Untuk rekod, Djokovic memegang rekod 10 kemenangan Terbuka Australia.- AGENSI










