KUALA LUMPUR: Belum masanya skuad badminton kebangsaan menekan butang panik menjelang Piala Thomas, April ini, selepas aksi hambar dipamerkan dua wakil perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Jerman di Mulheim, Jerman, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, persiapan Piala Thomas sedang berjalan dan apa sahaja keputusan yang dicatat pemain pada kejohanan antarabangsa akan di bawa ke ‘meja rundingan’ bersama jurulatih bertanggungjawab.
“Prestasi sekarang kita tak boleh bandingkan terus sebab ada dua bulan lagi sebelum Piala Thomas. Sebelum Terbuka Jerman, saya ada bincang dengan Rexy Mainaky dan Kenneth Jonassen.
“Kita kena pilih pemain yang dalam kondisi terbaik untuk tahun ini. Justin tewas kepada pemain ranking 25 dunia, Lee Cheuk Yu kita kena tengok macam mana nak perbaiki lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Piala Lee Chong Wei di sini, semalam.
Bekas bintang No. 1 dunia itu berkata, sebagai penasihat teknikal, beliau enggan mengganggu program latihan yang telah disusun jurulatih dan peranannya memberikan sokongan dari belakang.
“Kalau ada apa-apa yang tak kena, baru kita bincang bersama. Kita kena tanggungjawab sama-sama sebagai satu keluarga, sama ada menang atau kalah,” katanya.
Semalam, Jun Hao tewas kepada pemain No. 20 dunia, Chi Yu Jen dari Taiwan 21-18, 5-21, 20-22, manakala, Justin terpaksa akur kepada pemain No. 25 dunia, Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong 17-21, 21-12, 8-21 di peringkat 32 terbaik Terbuka Jerman.
Kekalahan tersebut telah mencetuskan kebimbangan terhadap persediaan skuad Piala Thomas, namun, Chong Wei percaya kepada barisan jurulatih dalam memastikan isu prestasi dapat diatasi sebelum Piala Thomas di Horsens, Denmark pada 29 April-5 Mei depan.-UTUSAN










