KUALA LUMPUR: Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal menjadi sandaran utama negara dalam kejohanan berbasikal trek antabangsa bermula pada bulan depan.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, Azizulhasni akan mewakili negara di Piala Dunia Trek di Perth, Australia pada 6 hingga 8 Mac ini dan selepas itu di kejohanan sama di Velodrom Nasional, Nilai pada 24 hingga 26 April depan.
“Beliau tidak akan ke Hong Kong. Selain itu, Azizulhasni juga akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Trek Asia di Filipina pada 25 hingga 31 Mac. Matlamat utama beliau adalah Sukan Asia dan mungkin Kejohanan Trek Dunia di China nanti,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai Piala Dunia Trek di Nilai, menurut Amarjit, persiapan rapi dengan kerja-kerja menaik taraf fasiliti oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sedang dilaksanakan bagi memastikan Malaysia bersedia bergelar tuan rumah pada kejohanan berprestij itu.
Kata beliau, sebanyak 48 buah negara dijangka menyertai kejohanan tersebut dengan 700 atlet serta pegawai akan berada di Velodrom Nasional nanti.
“Sekarang hanya tinggal lebih kurang dua bulan sebelum Piala Dunia. Ini adalah acara besar, bukan seperti Kejohanan Trek Asia yang biasa kita lihat dengan 20-22 negara. Ini melibatkan 48 negara dan nama-nama besar dijangka hadir,” katanya.
Amarjit berkata, selain Piala Dunia, fokus skuad kebangsaan juga diberi kepada Kejohanan Asia di Filipina yang dijadikan sebagai platform terbaik untuk persediaan ke temasya seperti Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland (23 Julai-2 Ogos) dan Sukan Asia di Jepun (19 September-4 Oktober).
“Kejohanan Trek Asia ini penting sebagai lonjakan untuk atlet kita pergi ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia kerana prestasi mereka di sana akan menunjukkan tahap sebenar mereka.
“Semua atlet sekarang dalam fasa bersedia. Saya baru sahaja bercakap dengan jurulatih, Harnizam (Basri) dan jurulatih lain, mereka gembira dengan perkembangan atlet termasuk Datuk Azizulhasni, segalanya berjalan lancar,” ujarnya.
Ketika ditanya pula mengenai acara yang bakal disertai Azizuhasni pada kejohanan-kejohanan tersebut, atlet veteran itu dijangka beraksi dalam acara keirin dan pecut di bawah bendera Jalur Gemilang dan bukannya bersama pasukan profesional.
Amarjit menjelaskan, perbincangan juga sedang berjalan untuk melibatkan Muhammad Shah Firdaus Shahrom yang kini dalam proses pemulihan bergandingan dengan Azizulhasni untuk acara keirin.-UTUSAN










