KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih pecut negara, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah menegaskan komitmennya untuk terus membantu memperkukuh skuad pecut kebangsaan sekiranya diberi peluang menyambung tugas bersama Olahraga Malaysia (MA).
Amir yang hadir menghadiri sesi temu duga penstrukturan semula barisan jurulatih kebangsaan semalam berkata, fokus utamanya adalah memastikan sistem latihan lebih tersusun dan berpusat demi melahirkan lebih ramai pelari bertaraf podium.
“Saya sudah berada di sini selama tiga tahun. Temu duga ini untuk menentukan sama ada kontrak saya disambung atau tidak.
“Jika diberi peluang, saya mahu lihat program latihan dilaksanakan secara lebih berpusat,” katanya.
Menurutnya, pendekatan latihan berpusat penting bagi memastikan kaedah latihan seragam selain memudahkan pemantauan prestasi, perancangan pertandingan dan pembangunan atlet pelapis.
Jurulatih berpengalaman itu juga menegaskan, terdapat atlet yang masih berlatih di bawah jurulatih masing-masing walaupun berada dalam program kebangsaan, sekali gus mewujudkan pendekatan latihan secara ‘decentralized’.
“Bukan kata prestasi merosot, kita masih ada pencapaian baik. Tetapi jika latihan dibuat secara berpusat di bawah satu acuan, hubungan atlet dan jurulatih lebih kukuh. Kefahaman bersama lebih jelas dan perancangan jangka panjang lebih teratur,” ujarnya.
Mengulas mengenai potensi melahirkan lebih ramai pelari sekelas Muhammad Azeem Fahmi, Amir percaya Malaysia tidak ketandusan bakat dalam acara pecut.
“Kita sudah ada Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang mencatat masa sekitar 10.18 saat. Di bawahnya ada lagi atlet yang berpotensi, cuma mereka perlukan platform dan perancangan yang sesuai. Saya yakin kita boleh lahirkan seorang atau dua lagi seperti Azeem,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan prestasi Azeem di Amerika Syarikat tidak wajar dinilai secara terburu-buru memandangkan atlet itu masih melalui fasa transisi dan penyesuaian dengan kaedah latihan baharu.
“Perubahan sistem latihan memerlukan masa. Tiga tahun pertama itu adalah tempoh transisi untuk dia belajar, menimba pengalaman dan menyesuaikan diri dengan persaingan antarabangsa,” jelasnya.
Bagaimanapun, Amir optimis bintang pecut negara itu mampu mencetus kebangkitan bermula musim ini.
Bagi acara 100 meter pula, Amir tidak menolak kemungkinan atlet itu mampu mencatat masa bawah 10 saat dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.
“Masih ada ruang untuk diperbaiki dari segi teknik dan fasa larian. Tetapi saya yakin, insya-Allah tahun ini atau tahun depan kita boleh lihat catatan bawah 10 saat. 9.99 saat pun sudah dikira sub-10.
“Thailand sudah ada pelari sub-10, jadi ia bukan sesuatu yang mustahil untuk Malaysia,” tegasnya. – UTUSAN










