PETALING JAYA: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain warisan negara.
Keputusan itu bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan negara ditangguhkan.
“FAM ingin memaklumkan bahawa CAS telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.
“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu dan mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” kata FAM dalam satu kenyataan.
Penangguhan itu sekali gus memberi khabar gembira buat Harimau Malaya kerana tujuh pemain berkenaan berkemungkinan dapat diturunkan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac ini.
Sebelum ini, tujuh pemain terbabit dikenakan denda RM10,560 dan digantung 12 bulan oleh FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.-UTUSAN










