PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu melakukan analisis secara terperinci agar sasaran untuk menjuarai Sukan SEA 2027 dibuat secara realistik dan adil.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, beliau menyambut baik hasrat KBS untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027 apabila Malaysia menganjurkan temasya dwitahunan itu.
“Setiap kali menganjurkan Sukan SEA, tuan rumah akan mensasarkan untuk jadi juara keseluruhan. Tetapi terlalu awal nak tetapkan, tak salah cuma kena buat analisis terlebih dahulu.
“Lihat dahulu keupayaan atlet kita dalam acara yang dipertandingkan. Jangan terlalu bercita-cita besar. Edisi lalu pun kita nombor empat dan emas yang kita bawa balik 57 sahaja.
“Mampu ke kita nak tingkatkan kutipan pingat emas atas 100?,” kata Pekan kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menyuarakan keyakinan kontinjen negara mampu mengulangi pencapaian gemilang muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2027 seperti mana dilakukan pada 2017.
Dalam pada itu, Pekan turut menimbulkan persoalan jumlah sasaran yang bakal ditetapkan oleh KBS dalam usaha Malaysia untuk muncul juara keseluruhan pada temasya tersebut.
“Masa kita anjurkan 10 tahun lalu kita hanya dapat pingat emas 145 berbanding Thailand dapat 233 pada tahun lalu. Itu semua perlu dilihat dan dinilai,” katanya.-UTUSAN










