PETALING JAYA: Bekas pemain skuasy kebangsaan, Sharon Wee melakar sejarah apabila dilantik sebagai presiden wanita pertama Persatuan Raket Skuasy Melaka (MSRA), hari ini.
Sharon yang juga Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berkata, beliau berterima kasih kerana diberi peluang kembali berkhidmat untuk skuasy Melaka dan Malaysia.
“Ini satu penghormatan diberi tanggungjawab ini. Sebagai bekas pemain negeri dan negara serta pengalaman di dunia penyiaran dan korporat termasuk terlibat dalam pentadbiran sukan, saya berharap dapat buat yang terbaik.
“Saya juga presiden wanita pertama dalam sejarah MSRA yang dibentuk pada 1974. Saya berharap ini akan memberi sumber inspirasi kepada bekas-bekas atlet yang lain untuk kembali dan menerajui persatuan sukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sharon yang pernah menghuni ranking No. 18 dunia itu berkata, pemilihannya juga diharap dapat mendorong lebih ramai wanita menggalas jawatan tertinggi dalam sesebuah pertubuhan.
“Saya berhasrat untuk mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Taufiq bagi menganjurkan Konvensyen Presiden Wanita Persatuan Sukan dengan tujuan dapat berkongsi pengalaman dan cabaran mengharungi dunia yang rata-ratanya dikuasai presiden lelaki,” ujarnya.
Kata Sharon, dengan pengalaman yang dimilikinya sebagai bekas atlet kebangsaan dan pernah terlibat dalam bidang kejurulatihan, beliau berharap dapat membantu pembangunan sukan skuasy.
“Saya tidak sabar untuk menggalas tanggungjawab ini dan bersama-sama menjadi inspirasi kepada generasi masa depan serta membawa skuasy Melaka ke peringkat yang paling tinggi,” katanya. – UTUSAN










