Selamatkan Velodrom Rakyat

Selamatkan Velodrom Rakyat

KEADAAN permukaan trek Velodrom Rakyat yang rosak dan tidak selamat digunakan.-IHSAN PKBM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merayu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak yang kini berada dalam keadaan kritikal, dianggap tidak selamat dan berisiko tinggi untuk digunakan.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, melahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan tindakan pihak berkuasa yang menyebabkan fasiliti ikonik itu terbiar tanpa sebarang aktiviti perlumbaan atau latihan selama lebih setahun.

Menurut Amarjit, ketiadaan bumbung menyebabkan permukaan trek kayu mudah rosak akibat terdedah kepada hujan dan panas terik, sekali gus membahayakan keselamatan pelumba.

“Status terkini Velodrom Rakyat amat menyedihkan. Ia tidak selamat dan berbahaya. Sudah lebih setahun ia tidak digunakan.

“Kami telah banyak kali membawa isu ini kepada pihak KBS sebelum ini, namun tiada pergerakan positif seperti yang diharapkan. Kita mahu membangunkan sukan berbasikal trek, tetapi fasiliti sedia ada dibiarkan reput,” kata Amarjit ketika ditemui pemberita.

Amarjit juga menambah, kegunaan Velodrom Rakyat amat kritikal untuk menampung keperluan atlet dari zon utara terutamanya Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang giat melahirkan pelumba remaja berbakat.

Sehubungan itu katanya, kebergantungan sepenuhnya kepada satu velodrom di Nilai kini menyukarkan program pembangunan bakat baharu.

“Latihan di Velodrom Nilai kini sudah terlalu padat. Pasukan kebangsaan, MSN dan negeri-negeri lain berebut slot latihan.

“Jika Velodrom Rakyat berfungsi, ia boleh menjadi hab latihan zon utara dan mengurangkan kesesakan di Nilai,” jelasnya.

Velodrome Rakyat dibuka pada 1989 dengan permukaan konkrit pada awalnya sebelum ditukar dengan kayu siberian pine yang menepati piawaian antarabangsa, dengan trek beralun sepanjang 250 meter.

Dengan kapasiti sekitar 3,000 penonton, Velodrome Rakyat pernah menjadi venue bertaraf global dengan Kejohanan Dunia B UCI pada 1997 dan Siri Piala Dunia Trek pada 2000 serta 2001 pernah berlangsung di gelanggang berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN