Salah, Mane ‘berperang’ demi final AFCON

Salah, Mane ‘berperang’ demi final AFCON

MOHAMED Salah (tengah) akan mengetuai Mesir dalam aksi berdepan Senegal pada separuh akhir AFCON.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARRAKESH: Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) semakin panas apabila kuasa-kuasa besar benua itu bersiap sedia ‘berperang’ merebut slot ke final, termasuk pertembungan tumpuan membabitkan Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Tuan rumah Maghribi muncul sebagai pasukan pilihan selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan, namun cabaran sengit tetap menanti daripada Mesir, Nigeria dan Senegal yang masih menyimpan impian menjulang trofi di Rabat, Ahad ini.

Maghribi, pasukan No.1 Afrika dan naib juara Piala Dunia 2022, akan berdepan Nigeria dalam separuh akhir awal pagi Khamis ini dengan rekod cemerlang apabila tidak tewas sejak kekalahan kepada Afrika Selatan pada AFCON edisi lalu.

Skuad kendalian Walid Regragui itu hanya bolos satu gol dalam lima perlawanan, sekali gus menutup segala keraguan terhadap kemampuan mereka menggalas tekanan sebagai tuan rumah selepas menyingkirkan Cameroon 2-0 di suku akhir.

Kepulangan kapten pasukan, Achraf Hakimi yang kembali cergas menjadi suntikan besar buat Maghribi, manakala pemain sayap Real Madrid, Brahim Diaz terus mencuri tumpuan selepas menjaringkan lima gol dan muncul calon pilihan menjadi Pemain Terbaik Kejohanan.

“Dia (Diaz) boleh menjadi pemain terbaik dunia jika dia mahu. Tiada yang mustahil tetapi tekanan tetap ada dan kami akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Cameroon pasukan yang baik dan kami berjaya mengatasi mereka di suku akhir dan kini Nigeria menjadi cabaran baharu untuk kami ke final,” kata Regragui selepas perlawanan menentang Cameroon.

Satu lagi separuh akhir di Tangiers menjanjikan aksi tumpuan apabila Mesir dan Senegal bertembung dalam ulangan final 2022, menyaksikan duo peribadi dua bekas rakan sepasukan di Liverpool, Salah dan Mane.

Senegal, yang berada di ranking kedua Afrika dan ke-19 dunia, dilihat sebagai ancaman utama kepada Maghribi dengan skuad berpengalaman diketuai Mane, manakala Mesir terus bergantung kepada sentuhan tajam Salah yang sudah meledak empat gol setakat ini.

“Saya memenangi hampir semua trofi, tetapi inilah yang saya tunggu-tunggu. Kami akan menentang pasukan-pasukan sangat kuat, kebanyakannya mempunyai pemain beraksi di Eropah, yang menjadikan keadaan lebih mudah buat mereka.

“Kami juga mempunyai pemain bagus, tetapi kebanyakannya bermain di Mesir. Kami hanya ada tiga pemain beraksi di luar negara dan semuanya berada dalam situasi sukar tiada seorang pun yang bermain secara tetap dengan kelab mereka sekarang,” kata Salah.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN