MELBOURNE: Pemain tenis Britain, Emma Raducanu mengkritik jadual Terbuka Australia selepas susunan hari pertama kejohanan membebankan pemain wanita.
Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat itu dijadualkan turun dalam perlawanan terakhir hari pembukaan di Margaret Court Arena, selepas satu perlawanan perseorangan lelaki yang berpotensi berlanjutan sehingga lima set.
Raducanu mengakui sukar menerima situasi tersebut sambil menjelaskan bahawa ia amat mencabar apabila perlawanan wanita dijadualkan selepas aksi lima set yang mungkin berakhir lewat malam.
“Bagi saya, ia tidak begitu masuk akal, namun selepas melihat jadual itu, reaksi awal mungkin sekadar mengatakan ia perlawanan yang lewat.
“Kemudian anda berurusan dengannya dan cuba mengubah hari anda serta menyesuaikan diri,” kata pemain berusia 23 tahun itu.
Pemain pilihan ke-28 kejohanan itu berdepan cabaran tambahan apabila hanya tiba di Melbourne selepas tewas pada peringkat suku akhir kejohanan pemanas badan di Hobart, Khamis lalu.
Dalam masa sama, Raducanu mengakui setiap pemain pastinya mahukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan menjalani latihan.
“Saya rasa semua pemain mahu lebih banyak masa untuk berlatih, tetapi saya telah diberikan jadual dan hanya perlu mencuba untuk menyesuaikannya serta memanfaatkan sepenuhnya apa yang ada di hadapan saya,” katanya. – AGENSI










