LONDON: Pengurus Chelsea, Liam Rosenior menegaskan Cole Palmer gembira berada di kelab itu walaupun ada laporan mendakwa pemain berusia 23 tahun itu rindukan kampung halamannya.
Palmer yang berasal dari Manchester berpindah ke Stamford Bridge pada 2023 dari Manchester City dan berkembang menjadi tonggak Chelsea dalam dua musim pertamanya di London.
Namun begitu, masalah kecederaan yang membelenggu dirinya pada musim ini mengehadkan impak Palmer bersama The Blues.
“Saya sudah banyak kali berbincang dengan Cole dan dia nampak amat gembira berada di sini. Dia adalah sebahagian besar daripada perancangan jangka panjang kami dan pemain yang luar biasa.
“Setiap pemain akan melalui detik sukar dalam karier terutama berkaitan kecederaan. Ia langsung tidak mencerminkan kualitinya,” kata Rosenior.
Palmer menyempurnakan sepakan penalti dan beraksi penuh 90 minit ketika menang 2-0 ke atas Brentford minggu lalu.
Pemain England itu tidak diturunkan ketika bertemu Pafos pada aksi Liga Juara-Juara, kelmarin susulan kecederaan pangkal paha yang berterusan.
Dia kini kembali menjalani latihan dan berada dalam pertimbangan untuk diturunkan ketika Chelsea bertandang ke Crystal Palace malam ini.
Bagaimanapun, Rosenior memberi bayangan minit permainan Palmer masih perlu dikawal sehingga dia benar-benar cergas sepenuhnya.
“Tugas saya dan kelab adalah memastikan dia berada pada tahap yang mana dia boleh beraksi secara konsisten seperti yang dia mahukan,” ujarnya.
Chelsea kini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris, namun hanya dua mata di belakang pasukan tangga keempat Liverpool dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara musim depan. – AGENSI










