NFDP sandaran masa depan Harimau Malaya

NFDP sandaran masa depan Harimau Malaya

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi tahun 2026 bermula dengan sesi latihan pertama di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang, kelmarin.- IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee menyimpan harapan tinggi untuk melihat skuad Harimau Malaya pada masa depan didominasi pemain yang lahir daripada akademi pembangunan negara itu.

Menurut beliau, beberapa langkah penstrukturan semula telah dilaksanakan dengan mengambil kira aspek-aspek penting, khususnya dalam mengimbangi peruntukan kewangan dengan kualiti program pembangunan yang bakal dijalankan.

Beliau turut menegaskan bahawa NFDP merupakan inisiatif jangka panjang yang tidak menjanjikan hasil segera, namun perkembangan dan kemajuan program itu akan dipantau secara berterusan bagi memastikan prestasinya terus menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

“Perkara utama saya ingin melihat skuad kebangsaan kita pada masa akan datang majoriti dibarisi pemain-pemain tempatan daripada projek NFDP. Jika bukan daripada NFDP sekalipun mungkin pemain-pemain daripada program-program yang dilakukan oleh akademi-akademi bola sepak di negara kita.

“FAM akan memainkan peranan yang cukup penting di mana saya harap pemain ini dapat mewakili negara, bukan satu atau dua tahun, sebaliknya lima, enam atau pun 10 tahun akan datang,” kata Kim Swee.

Kelmarin, NFDP telah melakukan perubahan barisan kejurulatihan dengan beberapa bekas pemain kebangsaan dipilih bagi setiap peringkat umur.

Langkah ini bagi memastikan program pembangunan itu mencapai matlamat dan perancangan yang direncana dalam melahirkan pemain-pemain berkualiti.

“Apa yang kita lakukan dalam NFDP ini adalah penstrukturan semula peringkat umur yang kita menekankan dari aspek pembangunan pemain-pemain dan yang pentingnya mengikut hala tuju bola sepak negara,” ujarnya.

Sementara itu, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyeru semua pihak memberi ruang yang besar buat Kim Swee untuk melakukan perubahan terhadap NFDP mengikut acuannya sendiri.

Jelasnya, apa yang dilakukan Kim Swee adalah selaras dengan laungan banyak pihak sebelum ini yang mahukan perubahan terhadap NFDP iaitu tunjang dalam melahirkan bintang masa depan bola sepak negara.

“Saya percaya perubahan itu dilakukan selepas membuat penilaian. Kalau pengurusan baharu masuk dan tak ada apa-apa yang dilakukan, mana perubahan? Sedangkan sebelum ini ramai yang harapkan perubahan.

“Bagi beliau (Kim Swee) ruang dan peluang untuk membuktikan. Jangan pula apabila beliau baru sahaja masuk sudah ada yang kata ini tak betul, itu tak betul, semua tak betul. Jadi, bagaimana perancangan nak bergerak, bagaimana nak buat perubahan?

“Janganlah jadikan benda ini sebagai satu isu yang boleh mematahkan semangat orang yang cuba nak buat perubahan demi kebaikan masa depan bola sepak negara,” tegasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN