Menezes diberi misi bawa Peru ke Piala Dunia 2030

Menezes diberi misi bawa Peru ke Piala Dunia 2030

Presiden Persekutuan Bola Sepak Peru, Agustin Lozano (kiri) bergambar bersama Mano Menezes (tengah) yang dilantik sebagai jurulatih baharu Peru semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA: Bekas ketua jurulatih Brazil, Mano Menezes dilantik sebagai pengendali baharu pasukan kebangsaan Peru berkuat kuasa semalam, selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Peru, Agustin Lozano berkata, pelantikan Menezes adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi memastikan Peru kembali beraksi di pentas Piala Dunia dengan sasaran utama adalah kelayakan ke edisi 2030.

Menezes, 63, bukan nama asing dalam arena bola sepak Amerika Selatan selepas pernah mengemudi skuad Brazil selama dua tahun dari 2010 hingga 2012.

Bagaimanapun, dia tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan utama meskipun memiliki pengalaman luas bersama beberapa kelab ternama Brazil.

Selain itu, Menezes pernah mencuba nasib sebagai jurulatih di luar negara termasuk di Arab Saudi dan China, sekali gus menambah kepelbagaian pengalaman kejurulatihannya.

Dikenali sebagai jurulatih yang sering dipanggil untuk memulihkan pasukan yang berada dalam prestasi merudum, Menezes kini berdepan cabaran besar untuk membangunkan semula skuad Peru yang menamatkan saingan di kedudukan kesembilan daripada 10 pasukan dalam kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan, selepas hanya meraih dua kemenangan daripada 18 perlawanan.

Kali terakhir Peru beraksi di Piala Dunia pada edisi 2018 di Rusia, yang juga merupakan penampilan pertama mereka dalam kejohanan itu selepas penantian selama 36 tahun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN