Melaka FC mudah atasi PDRM FC 3-0

Melaka FC mudah atasi PDRM FC 3-0

Dino Kalesic melarikan bola sambil dikejar Fadi Awad (kiri) dalam aksi Liga Super Melaka FC menentang PDRM FC di Stadium Hang Jebat malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka FC beraya mengutip tiga mata penuh di laman sendiri apabila mudahmenewaskan pasukan tercorot PDRM FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Kemenangan tersebut pastinya menceriakan jurulatih E. Elavarasan, sekali gus menebus kekecewaan tuan rumah yang dibelasah Penang FC 0-5 Ahad lalu.

Bagaimanapun kemenangan Melaka FC tidak mengubah kedudukan pasukan itu yang masih kekal di tangga ke-12 berbanding PDRM FC terus menghuni tangga tercorot.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama dengan ketiga-tiga jaringan tuan rumah terhasil pada babak kedua.

Tuan rumah terpaksa menanti sehingga ke minit ke-55 untuk meraih gol pertama menerusi jaringan Muhammad Sharel Fikri, sebelum jaringan sendiri pemain PDRM (minit-58) dan Abdul Aziz Rahim (minit-90).

Muhammad Sharel Fikri menceriakan Melaka FC apabila menanduk masuk hantaran R. Ruventihran menewaskan penjaga gol, Mohd. Asri Muhamad untuk tuan rumah mendahului PDRM 1-0.

Tiga minit selepas itu pelawat dikejutkan dengan gol kedua tuan rumah hasil jaringan sendiri Badrul Effendy Fadzli.

Gol terhasil dalam keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol PDRM FC apabila Badrul Effendy tertolak masuk ke gawang sendiri ketika diasak pemain tuan rumah.

PDRM yang tersentak dengan dua gol tersebut cuba menggandakan asakan, namun sukar menembusi benteng pertahanan tuan rumah.

Melaka FC menutup tirai jaringan ketiga menerusi pemain gantian Abdul Aziz pada minit ke-90.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN