JEDDAH: Penyerang sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe disahkan cergas dan berpeluang besar diturunkan dalam aksi panas El Clasico menentang Barcelona pada final Piala Super Sepanyol, esok.
Pengendali Real, Xabi Alonso, mengesahkan bintang Perancis itu sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang memaksanya berehat ketika kemenangan 2-1 ke atas Atletico Madrid pada aksi separuh akhir, semalam.
Menurut Alonso, tahap kecergasan Mbappe berada pada paras terbaik dan setaraf rakan sepasukan lain untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.
“Dia semakin baik, berasa selesa dan berada dalam keadaan yang sama seperti pemain lain untuk beraksi,” kata Alonso.
Mbappe dijadual tiba di Arab Saudi bagi menyertai kem latihan pasukan, sekali gus meningkatkan keyakinan Los Blancos menjelang pertembungan berprofil tinggi yang menjadi tumpuan peminat bola sepak dunia.
Kehadiran penyerang berusia 27 tahun itu pastinya memberi kelebihan besar buat Real Madrid, memandangkan beliau kini muncul sebagai penjaring terbanyak kelab musim ini dengan 29 gol daripada 24 perlawanan dalam semua kejohanan.
Sementara itu, Barcelona mara ke final dengan penuh bergaya selepas membelasah Athletic Bilbao 5-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Rabu lalu.
Pertembungan dua seteru tradisi Sepanyol di bumi Arab Saudi dijangka mencetuskan sensasi global, dengan kepulangan Mbappe berpotensi menghangatkan semula pentas El Clasico yang sentiasa sarat dengan drama dan prestij.- AGENSI










