Mainoo bukti DNA sebenar United – Carrick

Mainoo bukti DNA sebenar United – Carrick

Kobbie Mainoo kini menjadi pilihan Michael Carrick. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Michael Carrick yakin Kobbie Mainoo memiliki segala ramuan diperlukan untuk kembali menjadi tonggak utama Manchester United selepas melalui tempoh suram sepanjang era kendalian Ruben Amorim.

Keyakinan itu hadir selepas Carrick memberi kepercayaan penuh kepada pemain tengah berusia 20 tahun tersebut untuk turun dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama musim ini, sekali gus menjadi keputusan berani pada perlawanan sulungnya sebagai pengendali sementara.

Kepercayaan itu nyata tidak disia-siakan apabila United mempamerkan dominasi ke atas seteru setempat, Manchester City sebelum mencatat kemenangan bergaya 2-0, dengan Mainoo menjadi antara nadi utama di bahagian tengah.

Mainoo sebelum ini pernah mencuri tumpuan pada musim 2023-24 di bawah kendalian Erik ten Hag, termasuk menjaringkan gol penting ketika United menundukkan City pada perlawanan akhir Piala FA, selain memainkan peranan besar membantu England mara ke final Euro 2024.

Namun, perkembangannya seakan terbantut sepanjang 14 bulan era Amorim apabila dia bergelut mendapatkan minit permainan, lebih-lebih lagi selepas pengendali dari Portugal itu enggan menggandingkannya bersama kapten pasukan, Bruno Fernandes.

“Kelab ini memerlukan pemain muda dan menjadi asas kepada makna sebenar kelab ini, bukan hanya untuk pemain atau skuad, tetapi untuk kelab dan penyokong.

“Saya rasa itu sesuatu yang perlu kami fahami dan terus bina. Kobbie adalah contoh terbaik. Muncul dengan pantas dan meningkat begitu cepat, beraksi dalam perlawanan besar yang luar biasa serta memberi impak pada usia yang amat muda menunjukkan kualiti tinggi serta karakter.

“Dalam karier ada turun naik dan kadangkala laluannya berbeza tetapi saya rasa anda sudah lihat minggu lalu apa yang mampu diberikan Kobbie,” kata Carrick pada menjelang aksi berdepan Arsenal, awal pagi esok.

Kemenangan ke atas City melonjakkan United yang berada di tangga kelima kepada hanya satu mata di belakang kelompok empat teratas liga.

Suasana di Old Trafford turut berubah ekoran persembahan positif itu dan Carrick berharap ia menjadi asas kukuh untuk penamat musim yang positif ketika United memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun.

“Satu perlawanan tidak menjadikan anda pasukan hebat, tetapi ia memberi asas yang sangat baik untuk dibina, jadi keyakinan itu ada,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN