Liverpool tidak tambah pemain baharu

Liverpool tidak tambah pemain baharu

Arne Slottidak merancang untuk membuat pembelian saat akhir - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengendali Liverpool, Arne Slot memberi bayangan The Reds tidak akan membuat sebarang pembelian saat akhir sebelum jendela perpindahan Januari melabuhkan tirainya, walaupun kekurangan pemain di posisi pertahanan.

Slot menjelaskan situasi pasaran perpindahan pertengahan musim sering kali tidak memihak kepada kelab, khususnya apabila melibatkan pemain berkualiti tinggi yang sukar diperoleh tanpa kos melampau atau risiko jangka panjang.

Menurutnya, Liverpool ketika ini lebih cenderung untuk mengekalkan kestabilan skuad sedia ada berbanding membuat keputusan tergesa-gesa, meskipun terdapat keperluan jelas untuk menambah pilihan di benteng pertahanan.

Keadaan itu bertambah rumit apabila dua pemain yang sebelum ini dikaitkan dengan The Reds, iaitu pertahanan tengah Marc Guehi dan penyerang lincah Antoine Semenyo, memilih haluan berbeza dengan menyertai juara bertahan, Manchester City.

“Saya menjangka kekal dengan skuad yang kami ada namun jika ada peluang, kelab akan sentiasa menilainya,” kata Slot.

Liverpool mengharungi tempoh mencabar di bahagian pertahanan dengan kecederaan dan ketiadaan pemain mengehadkan pilihan Slot, manakala unit serangan turut terjejas sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan kecederaan Alexander Isak dan ketiadaan Mohamed Salah yang menyertai Piala Negara-Negara Afrika.

Liverpool juga hilang khidmat pemain pertahanan Ibrahima Konate, yang diberikan masa berehat susulan kematian bapanya.

“Ini perkara peribadi yang sepatutnya kekal antara kami. Jelas pemain itu memerlukan masa untuk bersama keluarganya dan juga untuk dirinya sendiri,” ujarnya.

Walaupun Liverpool memiliki skuad terhad dan tanpa tambahan pemain Januari ini, Slot berkata pemainnya memberi maklum balas baik terhadap tuntutan musim setakat ini.

Liverpool akan terus berusaha mengekalkan momentum dalam saingan domestik dan Eropah, dengan rekod 13 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN