MARSEILLE: Liverpool mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL), semalam, selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Marseille dengan kembalinya Mohamed Salah dalam kesebelasan utama.
Salah membuat penampilan pertama sebagai pemain utama Liverpool sejak November, selepas sebelum ini diketepikan oleh Slot sebelum membantu Mesir mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika.
Pada aksi itu, Dominik Szoboszlai membuka tirai jaringan buat Liverpool, sebelum jaringan sendiri penjaga gol Marseille, Geronimo Rulli dan sentuhan penyudah Cody Gakpo memastikan kemenangan selesa The Reds pada babak kedua di Stade Velodrome, Marseille.
Kapten pasukan Reds, Virgil van Dijk berharap momemtum ini diteruskan dan mengakui semua pemain mengharapkan perkara positif akan terus bersama pasukan.
“Kami sentiasa bercakap perkara sama selepas kemenangan atau keputusan positif. Keputusan ini membuktikan bahawa kami masih mampu bersaing dan buru kejayaan.
“Sekarang perlu fokus sepenuhnya kepada pemulihan sebelum berdepan Bournemouth pada Sabtu. Mereka pasukan yang sukar ditewaskan dan kami perlu benar-benar bersedia,” kata Van Dijk.
Skuad kendalian Arne Slot yang kini tidak tewas dalam 13 perlawanan berturut-turut melonjak ke tangga keempat carta liga membabitkan 36 pasukan, sekali gus berada di landasan terbaik untuk menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas.
Liverpool bakal mengesahkan kedudukan itu jika mencatat kemenangan ke atas wakil Azerbaijan, Qarabag, pada perlawanan terakhir peringkat liga di Anfield minggu depan.
Sementara itu, dua lagi wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Chelsea mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pafos manakala Newcastle United mudah membenam PSV Eindhoven 3-0.-AGENSI










