Letak jawatan dahulu, tanding semula jika layak

Letak jawatan dahulu, tanding semula jika layak

Pemilihan baharu FAM dijangka diadakan dalam tempoh empat bulan lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Letak jawatan dan bertanding semula pada pemilihan akan datang dijangka menjadi pilihan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Barisan Exco sedia ada difahamkan sebulat suara melepaskan jawatan bagi menyelamatkan badan induk itu daripada digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada keputusan rasmi dikeluarkan dan jika benar-benar berlaku, ia adalah satu tindakan berjiwa besar daripada barisan Exco FAM.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail mengakui tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula jika perlu melepaskan jawatan sedia ada.

Namun katanya, masih terlalu awal untuk diputuskan kerana keputusan muktamad belum dibuat, selain turut bergantung kepada ketetapan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Buat masa ini masih belum ada keputusan akhir. Semuanya masih dalam perbincangan. Kalau ditanya soal bertanding semula, itu bergantung kepada keputusan nanti dan juga badan gabungan. Mereka yang akan menilai siapa yang layak, rekod serta kemampuan calon,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Rosmadi, barisan Exco bersedia melepaskan jawatan sekiranya langkah itu diperlukan demi kepentingan bola sepak negara dan bagi mengelakkan sebarang tindakan termasuk penggantungan oleh FIFA.

Ditanya mengenai peluang beliau untuk bertanding semula sekiranya berlaku kekosongan jawatan, Rosmadi mengambil pendekatan berhati-hati dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses serta keputusan pihak berkaitan.

“Itu bergantung kepada keputusan FIFA, AFC dan juga badan gabungan. Saya tak boleh komen awal. Badan gabungan yang akan menilai siapa layak, rekod, prestasi dan kemampuan calon. Kita tak boleh tentukan sendiri,” jelasnya.

Bagaimanapun, Rosmadi tidak menafikan sekiranya diberi peluang, beliau terbuka untuk mempertimbangkannya.

“Saya sebelum ini pun sudah beberapa penggal hantar pencalonan dan banyak terlibat dalam pembangunan futsal.

“Secara peribadi masih banyak perkara yang saya ingin sumbangkan. Kalau diberi peluang, kenapa tidak? Tapi dalam situasi sekarang, yang lebih penting ialah berjiwa besar dan mungkin ada yang lebih baik daripada kita selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN