BRISBANE: Harapan untuk melihat Nick Kyrgios kembali menyinar dalam dunia tenis tidak menjadi kenyataan apabila tersingkir awal di Kejohanan Tenis Antarabangsa Brisbane, kelmarin.
Pemain Australia berusia 30 tahun itu tewas mudah kepada pemain Amerika Syarikat (AS), Aleksandar Kovacevic, 6-3, 6-4 dalam masa 66 minit pada pusingan pertama di Pat Rafter Arena.
Kekalahan itu mengecewakan ribuan penonton yang memenuhi stadium yang mengharapkan kebangkitan Kyrgios selepas prestasi memberangsangkan dalam acara beregu sebelum ini.
Kyrgios, yang masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan lutut dan pergelangan tangan, mempamerkan prestasi jauh daripada tahap terbaiknya.
Pergerakan terhad, pulangan servis yang lemah serta ketidakselesaan fizikal jelas membelenggu pemenang tujuh gelaran Jelajah ATP itu, yang hanya beraksi lima kali sepanjang musim 2025.
Sebaliknya, Kovacevic yang berada di ranking ke-58 dunia tampil yakin dan konsisten, memecahkan servis Kyrgios dua kali tanpa memberi sebarang peluang break kepada pemain tuan rumah itu.
“Sejujurnya, saya menjangkakan perlawanan yang lebih sukar,” kata Kovacevic selepas perlawanan, sambil mengakui sukar menilai tahap sebenar Kyrgios selepas sekian lama tidak beraksi secara kompetitif.
Kekalahan ini turut menguatkan lagi persoalan mengenai keputusan penganjur Terbuka Australia yang enggan memberikan wildcard undian utama kepada bekas pemain No.13 dunia itu, walaupun beberapa pemain Australia lain yang kurang berprofil tinggi diberikan tempat.- AGENSI-










