Kim Swee perlu contohi pembangunan Jepun, Korea Selatan

Kim Swee perlu contohi pembangunan Jepun, Korea Selatan

BARISAN kejurulatihan dan kakitangan teknikal baharu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP)-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee perlu mencontohi struktur pembangunan bola sepak Jepun dan Korea Selatan bagi melahirkan pemain muda berkualiti untuk masa depan negara.

Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata,bola sepak moden menuntut kecergasan, kepantasan dan kefahaman taktikal yang tinggi, bukannya sekadar bergantung kepada permainan hantaran jauh.

“Kita tak boleh asyik guna ‘long ball’. Pembangunan perlu bermula dari bawah bagaimana bina permainan dari pertahanan, kawal penguasaan bola di tengah dan serangan yang berkesan di hadapan.

“Itu yang dilakukan Jepun dan Korea Selatan. Pemain mereka sudah faham peranan, disiplin dan kehendak jurulatih sejak peringkat akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Wan Jamak mengingatkan kejayaan sistem bola sepak Asia itu bukan hasil usaha seorang individu semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh seluruh struktur kejurulatihan.

“Sebagai pengarah pembangunan, Kim Swee tak boleh buat kerja seorang diri. Dia perlukan pasukan jurulatih yang faham DNA dan sistem yang sama.

“Daripada bawah 12 tahun hingga ke peringkat senior, latihan mesti seimbang dan seragam. Bila itu berlaku, barulah kita boleh lihat kesinambungan dan hasil jangka panjang,” katanya.

Jurulatih berpengalaman itu juga berkata, rombakan struktur dan barisan kejurulatihan di AMD ketika ini memberi harapan baharu, namun menuntut kesabaran kerana pembangunan pemain memerlukan tempoh masa yang panjang sebelum hasilnya dapat dilihat.

“Harapan saya memang tinggi. Kita mahu lihat AMD mampu melahirkan pemain berbakat untuk mewakili negara.

“Tetapi dengan struktur baharu, jurulatih baharu dan pendekatan baharu, semuanya kembali ke ‘drawing board’.

“Kita perlu beri masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk melihat sama ada perubahan ini berjaya atau tidak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN