NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui keadaan dirinya masih belum di tahap terbaik meskipun berjaya membawa pulang dua pingat emas pada Siri Trek Asean (Piala Presiden) 1.
Pelumba yang dikenali The Pocket Rocketman itu memenangi pingat emas keduanya di kejohanan yang berlangsung di Velodrom Nasional, semalam dalam acara keirin selepas melakukan catatan masa 10.211 saat (s).
Pingat perak dimenangi atlet Indonesia, Dika Alif Dhentaka manakala gangsa milik To Cheuk Hei dari Hong Kong.
“Sekarang belum berada di tahap terbaik. Kalau berdasarkan data, catatan masa terbaik saya di sini 9.5s dan di Sukan Olimpik (2024) 9.4s.
“Namun untuk awal musim ini saya dah buat bawah 10s, kira di landasan yang betul kerana nak buat bawah 10s bukan mudah. Kali ini sudah dua, tiga kali saya lakukannya. Ini bagus cuma sekarang kita nak perbaiki ke 9.4s dan itu memerlukan kerja keras,” katanya.
Kelmarin, Azizulhasni yang kini beraksi sebagai pelumba bebas bersama Team Azizul memenangi pingat emas dalam acara pecut lelaki.
Sementara itu, bagi saingan keirin wanita pula menyaksikan pingat emas dimenangi pelumba negara, Nur Alyssa Mohd Farid selepas melakukan catatan masa 11.287s.
Pingat perak dimenangi rakan senegaranya, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri manakala gangsa dimenangi Yeung Cho Yiu.-UTUSAN










