ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) selangkah ke suku akhir selepas membelasah PDRM FC 10-1 dalam aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Teto Martin muncul wira Harimau Selatan apabila meledak ‘double hattrick’ gol ketika membenam pasukan kendalian Eddy Gapil.
Kenduri gol JDT bermula seawal minit ketiga hasil jaringan Martin apabila memanfaatkan hantaran Silang Jonathan Silva dengan melepaskan rembatan deras menewaskan Asri Muhamad.
Martin sekali lagi memahat nama dalam senarai penjaring pada minit ketujuh setelah menghukum kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola dari kotak dengan meledak gol kedua dari jarak dekat.
Bergson Da Silva hampir melebar kedudukan namun percubaan yang dilakukan pada minit ke-11 dinafikan Asri bagi memastikan gawang tidak dibolosi lagi pada babak pertama itu.
Bersambung babak kedua, anak buah Xisco Munoz terus mempertingkatkan serangan dan berjaya memperoleh gol seawal minit ke-47 hasil jaringan Nazmi Faiz Mansor yang memanfaatkan hantaran silang Jonathan.
Dua minit berselang, pemain sayap kelahiran Sepanyol itu melengkapkan jaringan hatriknya setelah menyempurnakan hantaran lintang Yago Cesar pada minit ke-49.
Ketika JDT rancak menguasai permainan, PDRM mengejutkan pasukan pelawat apabila hantaran Fakhrul Azim Mohd. Zulphatah ke dalam kotak penalti disudahkan Imran Samso pada minit ke-60.
Dua minit berselang, Teto menambah jaringan lagi, kali ini menyudahkan umpanan Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-62.
Empat minit berselang, pemain baharu JDT, Marcos Guilherme menambah derita Sang Saka Biru apabila menolak masuk bola umpanan Nazmi Faiz menerjah gawang PDRM pada minit ke-66.
Teto meledak gol kelima peribadinya pada perlawanan itu apabila bijak melepasi perangkap ofsaid dan mudah menewaskan penjaga gol PDRM bagi menjadi kedudukan 6-1 pada minit ke-73.
Manuel Hidalgo yang dibawa masuk pada babak kedua turut mencatatkan nama dalam senarai penjaring apabila melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Asri pada minit ke-86.
Guilherme menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan itu selepas memanfaatkan umpanan Yago Cesar pada minit ke-89.
Teto melengkapkan kemenangan bergaya buat pasukan Harimau Selatan apabila menjaringkan gol ke-10 JDT pada masa kecederaan.
JDT akan berdepan PDRM FC dalam aksi kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia, Sabtu depan.
Habis








